Seo Services

Lebihan Akaun Semasa Dijangka Sekitar 1.5 Hingga 2.5 Peratus


KUALA LUMPUR: Keseluruhan imbangan pembayaran negara dijangka sederhana, dengan akaun semasa mencatat lebihan yang lebih kecil dalam lingkungan 1.5 peratus hingga 2.5 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada 2015.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Ekonomi 2015/2016 yang dikeluarkan hari ini berkata akaun semasa negara kekal positif, dengan angka bersih imbangan akaun semasa untuk 2015 dianggar berjumlah RM23.38 bilion.

MOF berkata akaun semasa dijangka mencatat penurunan dalam lebihan akaun semasa, berbanding 4.4 peratus pada 2014, terutama didorong oleh lebihan akaun barangan dan perkhidmatan yang lebih rendah dan berikutan permintaan luar yang lemah, harga komoditi lebih rendah selain penyusutan nilai ringgit.

"Eksport dijangka menguncup 0.7 peratus manakala penguncupan import dijangka 1.2 peratus," katanya.


MOF berkata, walaupun berlaku turun naik dalam pasaran kewangan global, akaun kewangan akan mengekalkan aliran dua hala dengan pelaburan langsung asing dijangka meningkat, disokong oleh keyakinan terhadap asas makroekonomi dan prospek pertumbuhan ekonomi domestik.

"Syarikat Malaysia akan terus melabur di luar negara untuk meningkatkan pendapatan serta menambah nilai pemegang saham dan meluaskan penguasaan pasaran dalam sektor tertentu.

"Pelaburan di luar negara lebih bertumpu dalam industri minyak dan gas, perkhidmatan kewangan, pertanian dan perladangan, telekomunikasi, hartanah dan pembuatan," katanya.

Pada 2015, aliran portfolio dijangka kekal tidak menentu, berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), kebimbangan terhadap perkembangan ekonomi China yang semakin perlahan dan kesan harga komoditi ke atas prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, rizab antarabangsa yang kukuh, pasaran modal yang mendalam dan asas pelabur yang pelbagai, akan mengurangkan aliran keluar portfolio.

Pada 30 September 2015, kedudukan rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM415.1 bilion atau US$93.3 bilion (akhir Disember 2014: RM405.3 bilion; US$115.9 bilion) berikutan aliran dua hala yang stabil serta ekonomi benar kekal berdaya tahan.

Paras rizab ini mencukupi untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar negara jangka pendek, katanya. -BERNAMA
Lebihan Akaun Semasa Dijangka Sekitar 1.5 Hingga 2.5 Peratus Lebihan Akaun Semasa Dijangka Sekitar 1.5 Hingga 2.5 Peratus Reviewed by Unknown on October 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.