Seo Services

Russia Dan Eropah Sertai Misi Ke Bulan 2020


PARIS: Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) bakal menyertai pelan bercita-cita tinggi Russia untuk menjelajah bulan, dengan pengumuman ia akan menyediakan teknologi penting buat misi penerokaan terancang tahun 2020 selain mungkin membantu mendirikan sebuah pos kekal.

Mengikut pengumuman agensi angkasa lepas Russia Roscosmos November lalu, Luna 27 adalah perayau robotik yang akan mendarat di kawasan tadahan Kutub Selatan-Aitken, kawah gergasi di bahagian gelap bulan dan kemungkinan menjadi prospek sumber yang boleh digunakan bakal penghuni bulan.

Ketua Saintis ESA yang mengetuai projek itu, James Carpenter berkata kepada BBC awal minggu ini, kutub selatan bulan tidak seperti tempat lain yang kami pernah lihat sebelum ini.

"Persekitarannya jelas berbeza dan disebabkan cuaca sejuk melampau di sana, anda mungkin menemui sejumlah besar air berais dan bahan kimia lain yang berada di permukaan yang kita boleh gunakan sebagai bahan api roket atau dalam sistem sokongan hayat bagi menyokong misi akan datang manusia yang kami fikir akan pergi ke lokasi ini," katanya.

Bagi misi itu, ESA dijangka membekalkan Pilot, satu sistem pendaratan yang menggunakan panduan laser dan satu set kamera canggih untuk menentukan tempat terbaik bagi penerokaan di samping penggerudian revolusi yang akan menggali dua meter di bawah permukaan.

Pihak Eropah juga akan mendirikan sebuah makmal dalam sistem itu yang boleh segera menganalisis sampel diperoleh.

Walaupun saintis dan jurutera sedang berusaha untuk menghasilkan pelan induk projek, pihak berkuasa Eropah hanya akan memutuskan pembabitan mereka dalam Luna 27 menjelang akhir tahun 2016.

Ketua Saintis Roscosmos untuk projek itu, Prof Igor Mitrofanov, menggesa ESA bersetuju dengan penerokaan Russia itu.

"Kita perlu pergi ke bulan. Kurun ke-21 akan menjadi abad di mana pos kekal ketamadunan manusia wujud.

"Negara kami perlu mengambil bahagian dalam proses ini dan kami perlu melakukannya bersama rakan antarabangsa," kata pensyarah di Institut Penyelidikan Angkasa Lepas Moscow itu kepada BBC.

Apa saja keputusan yang diperoleh, Luna 27 hanyalah satu ujian kerjasama antara agensi angkasa lepas berkenaan, serta langkah ke hadapan untuk matlamat lebih besar.

Sebelum ini ESA difahamkan, Russia merancang untuk melakukan ekspedisi pendaratan bulan menjelang tahun 2030, diikuti pembinaan pangkalan kekal, selain pos pengorbit luar.

Namun ketua ESA yang baharu, Johann-Dietrich Woerner, dilantik sejak Julai lalu, adalah seorang penyokong tegar rancangan penjajahan bulan dan beliau sendiri menggariskan cadangan untuk satu perkampungan antarabangsa angkasa lepas yang menyokong visi Russia.

"Kami mempunyai cita-cita menghantar angkasawan Eropah ke bulan.

Ada perbincangan ketika ini di peringkat antarabangsa untuk kerjasama meluas bagaimana pergi ke bulan," kata Berengere Houdou, yang mengetuai kumpulan penerokaan bulan di Pusat Teknologi dan Penyelidikan ESA (Estec). - Agensi

Russia Dan Eropah Sertai Misi Ke Bulan 2020 Russia Dan Eropah Sertai Misi Ke Bulan 2020  Reviewed by uMieySurianie on October 25, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.