Seo Services

Sarawak Sentiasa Melindungi Hidupan Liar


KUCHING: Sarawak sentiasa mengalu-alukan kerjasama antarabangsa melalui pembangunan perkongsian pemuliharaan hidupan liar dan habitat semula jadi yang strategik dengan pelbagai negara seperti Jepun, Belanda, Jerman, Denmark, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, India, China, ASEAN, Timur Tengah dan lain-lain.

Selain itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata ia juga menggalakkan kerjasama saintifik dengan badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO), FAO, UNDP, GEF, JICA, FOMISS, ALTERA, APFNet, DANCED/DANIDA, GTZ dan sebagainya.

“Usaha sama ini menggalakkan kerjasama serta perkongsian maklumat saintifik di mana Sarawak juga sedang membangunkan pangkalan data ‘Mixed Dipterocarp Forest’ dengan pelbagai universiti seperti Salford University, Lincoln University dan universiti-universiti tempatan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh pada persidangan antarabangsa ‘Asia For Animal’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Adenan yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar berkata keperluan Sarawak untuk pembangunan sosioekonomi adalah tidak menjejaskan tanggungjawabnya terhadap pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar.

Dengan itu, katanya Sarawak telah mewartakan taman negara pertama iaitu Taman Negara Bako pada 1957 serta Pelan Induk Hidupan Liar 1996 untuk melindungi habitat semula jadi dan hidupan liar.

Bagi melindungi habitat semula jadi di bawah Pelan Induk Hidupan Liar 1996, beliau berkata kawasan seluas 1 juta hektar akan diwujudkan untuk taman negara, santuari hidupan liar dan rizab alam semula jadi menjelang 2020 manakala penguatkuasaan perundangan yang kukuh dilakukan untuk melindungi hidupan liar.

Adenan menambah, Sarawak juga mempunyai 54 kawasan yang dilindungi sepenuhnya seluas 831,824 hektar iaitu merangkumi tanah dan air.

“Sarawak merupakan salah satu daripada 25 hotspot biologi dan mempunyai biodiversiti yang kaya dengan hidupan liar apabila merekodkan sebanyak 185 spesies mamalia, 530 spesies burung, 166 spesies ular, 104 spesies cicak dan 113 spesies amfibia.

“Ia juga mempunyai lebih 8,000 spesies flora vaskular, lebih 2,000 spesies pokok, 1,000 spesies orkid, 757 spesies pakis dan 260 spesies kelapa yang direkodkan,” katanya.

Di samping itu, Adenan berkata Sarawak telah melakukan yang terbaik dalam melindungi orang utan.

Katanya Pelan Tindakan Strategik Orang Utan juga telah disediakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pemulihan Hidupan Liar untuk menyediakan pendekatan yang lebih holistik dalam melindungi dan menguruskan populasi orang utan.

“Spesies hidupan liar terancam yang masih boleh dijumpai di kawasan dilindungi sepenuhnya di Sarawak termasuk burung enggang, penyu, monyet dan banyak lagi,” katanya. - UB
Sarawak Sentiasa Melindungi Hidupan Liar Sarawak Sentiasa Melindungi Hidupan Liar Reviewed by uMieySurianie on October 09, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.