Kuala Berang: Degil. Itu sikap segelintir pengguna yang dikesan memandu melebihi had laju di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) biarpun faktor laju dan terbabas dikenal pasti punca utama kemalangan.
Ia terbukti apabila 65 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia dalam tempoh satu jam Operasi Khas LPT2 di Hentian Rehat dan Rawat Ajil, di sini, semalam yang mana memandu melebihi had laju menjadi antara kesalahan yang paling banyak dilakukan pengguna.
Operasi khas itu memembabitkan 27 pegawai dan 103 anggota trafik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu itu bermula semalam hingga Isnin depan di laluan LPT 2 sejauh 184 kilometer.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan pengguna yang masih gagal mematuhi had laju khususnya di laluan LPT 2, apatah lagi faktor memandu laju menjadi punca utama kemalangan.
Beliau berkata, operasi diadakan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan menyedarkan masyarakat tentang sikap bertanggungjawab yang harus diamalkan ketika berada di jalan raya.
“Selain tindakan kepada mereka yang melanggar peraturan lalu lintas, operasi ini bertujuan mengesan pemandu yang terbabit dengan jenayah, jenayah narkotik dan kesalahan lain.
“Walaupun penguatkuasaan dipertingkatkan, ada segelintir pengguna memandu melebihi had laju ditetapkan tanpa rasa bersalah,” katanya yang ditemui di Hentian Rehat dan Rawat Ajil, di sini, semalam.
Rosli berkata, selain rondaan cegah kemalangan dalam tempoh 24 jam, perangkap had laju di tempat kerap berlaku kemalangan dan tindakan saman serta-merta, operasi khas berkenaan turut menggunakan sebuah helikopter bagi tujuan pemantauan menerusi udara selain 10 kereta peronda, 17 motosikal trafik berkuasa tinggi dan empat unit kamera perangkap had laju.
Katanya, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan kes kemalangan maut di LPT 2 dapat dikurangkan.
Dalam pada itu, Rosli berkata, sebanyak 2,026 kes dengan 66 kemalangan maut membabitkan 86 kes kematian direkodkan sepanjang LPT2 dibuka bermula Ogos 2011 hingga 3 November lalu. -mymetro
60 Minit 65 Saman.
Reviewed by Unknown
on
November 07, 2015
Rating:
No comments: