KUCHING: Arus pembangunan semasa di Sarawak pada hari ini memerlukan tumpuan kepada usaha pembangunan bandar agar mencapai tahap yang lebih mantap.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata demikian ketika merasmikan Seminar Towards Socially And Culturally Vibrant Cities And Towns 2015 (Southern Zone) anjuran Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak dan AZAM Sarawak sini pagi tadi
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari.
“Pembangunan bandar yang mengamalkan amalan terbaik masa kini meramgkumi semua aspek penting dalam memastikan kualiti hidup rakyat yang tinggi,” katanya.
Tambahnya, konsep-konsep mantap yang lain dalam usaha pembangunan bandar seluruh dunia masa kini termasuklah Cities for People, Creative Cities, Future Cities, Digital Cities dan Global Cities
“Untuk konsep Cities For People, apa yang ditekankan adalah bagaimana pihak berkuasa dapat menguruskan pembangunan bandar dan pertumbuhan penduduk dalam persekitaran yang menggunakan sumber sumber secara efisien dan dengan cara yang mengambilkira pentingnya pemeliharaan alam sekitar,” jelasnya.
Beliau berkata ianya melibatkan penggunaan teknik yang kreatif, polisi dan teknologi moden, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
“Tidak kurang pentingnya, bagaimana bandaraya dan bandar-bandar dapat menyediakan tempat-tempat atau ruang umum yang bersifat inklusif dan selesa,” ujarnya.
Beliau turut menyarankan agar masyarakat termasuk penduduk bandar, persatuan-persatuan, golongan perniagaan, belia dan wanita semuanya berperanan besar dalam mentransformasikan masyarakat tempatan agar menjadi lebih dinamik dan progresif.
“Kerana arus pembangunan semasa memerlukan transformasi dari segi cara masyarakat kita berfikir dan dari cara masyarakat memainkan peranan pembangunan demi mempercepatkan proses pembangunan di Sarawak,” tegasnya.
Tambahnya pembangunan yang mapan serta kejasama yang erat antara setiap lapisan masyarakat amat diperlukan dalam usaha membentuk bandaraya dan Bandar yang dinamik di Sarawak. – Sarawakiana
Arus Pembangunan Di Sarawak Perlu Tumpuan Untuk Lebih Mantap
Reviewed by uMieySurianie
on
November 19, 2015
Rating:
No comments: