Seo Services

Batal Lesen Jika Terlibat Dengan Aktiviti Pembalakan Haram


KUCHING: Kerajaan negeri tidak teragak-agak menarik balik lesen syarikat konsesi pembalakan jika didapati terlibat dalam aktiviti pembalakan haram.

Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan semua 22 konsesi balak yang melanggar undang-undang ditetapkan termasuk enam konsesi balak terbesar Sarawak atau ‘Big Six’.

“Jika mereka didapati terlibat dalam pembalakan haram, kita mungkin membatalkan lesen mereka. Tidak kira sama ada syarikat itu (digelar) ‘Big Six’ atau ‘Small Six’,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem merasmikan Bengkel Antarabangsa Pelaksaaan Projek Koridor Jantung Borneo, di sebuah hotel di sini semalam.

Len Talif yang juga Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) berkata demikian apabila ditanya wakil media sama ada kerajaan negeri merancang membatalkan lesen konsesi balak kepada ‘Big Six’ yang dikatakan menguasai kira-kira 65 peratus konsesi balak di Sarawak.

Menurutnya semua konsesi balak di Sarawak telah diberi amaran agar tidak terlibat dalam pembalakan haram sambil menambah konsesi-konsesi berkenaan sedia maklum undang-undang berkaitan.

“Semua mereka (konsesi balak) tahu ‘peraturan permainan’ dan sudah pun menandatangani ikrar integriti,” katanya sambil menambah, semua konsesi balak bertanggungjawab ke atas subkontraktor dilantik.

Sementara itu Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman memberitahu, setakat ini ‘Big Six’ memberi kerjasama yang sangat baik dalam membanteras pembalakan haram.

“Saya boleh katakan, mereka (Big Six) memberi kerja sama baik dengan mengukuhkan pengurusan dan menyelia subkontraktor-subkontraktor dilantik dengan baik.

“Pada masa sama mereka menjadi sebahagian daripada pasukan tindakan khas negeri bersama kerajaan membanteras pembalakan haram,” jelasnya.

Ditanya mengenai jumlah (OT) yang masih aktif setakat ini, beliau memberitahu hampir separuh daripadanya sudah dibatalkan.

Beliau berkata sebelum ini terdapat 150 lesen OT dikeluarkan namun jumlah itu berkurangan kepada 80 sekarang bagi memudahkan pihak berkuasa mentadbir, mengurus, memantau dan mengawal mereka.

Len Talif turut memberitahu bahawa kerajaan negeri merancang mengurangkan jumlah pengeluaran balak kepada separuh daripada jumlah sekarang iaitu kira-kira sembilan juta meter padu.

“Untuk tempoh jangka panjang, kita mahu mengurangkan pokok dari hutan semula jadi dan lebih menumpu kepada ladang hutan, jadi kita tidak melibatkan kawasan besar bagi menghasilkan lebih banyak kayu untuk industri kita. Inilah rasionalnya di sebalik inisiatif ladang hutan,” jelas beliau. -UB-
Batal Lesen Jika Terlibat Dengan Aktiviti Pembalakan Haram Batal Lesen Jika Terlibat Dengan Aktiviti Pembalakan Haram Reviewed by uMieySurianie on November 04, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.