Seo Services

Chong Wei Kembali Dalam 10 Terbaik


KUALA LUMPUR - Selepas mengharungi tempoh sukar akibat penggantungan dan pernah mengalami kejatuhan ranking sehingga ke tangga 180 dunia, Datuk Lee Chong Wei ­akhirnya kembali dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia buat kali pertama sejak, Mac lalu.

Kejayaan merangkul kejuaraan Siri Super pertama dalam tempoh 16 bulan pada Terbuka Perancis, minggu lalu membantu bekas pemain No. 1 dunia itu naik sembilan anak tangga untuk berada pada ranking ke-10 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikeluarkan, semalam.

Ini adalah kedudukan terbaik Chong Wei sejak kali terakhir meng­huni tangga kelapan dalam ­ranking 26 Mac, malah penggantungan lapan bulan akibat do­ping menyebabkan dia berada di tangga ke-180 pada ­ranking 18 Jun.

Peningkatan ini juga merupakan berita baik buat pemain berusia 33 tahun itu dalam usaha layak ke Sukan Olimpik Rio, tahun depan sebagai pemain pilihan.

Biarpun berjaya menepati sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia pada 2015, namun Chong Wei yakin mampu melakukan lebih daripada itu.

“Berjaya kembali dalam kelompok 10 terbaik adalah berita menggembirakan, tetapi itu bukan sebab untuk terlalu gembira kerana misi utama saya adalah Olimpik.

“Walaupun berjaya menepati sasaran awal untuk kembali sebagai 10 pemain terbaik dunia menjelang hujung tahun, namun saya yakin saya boleh pergi lebih baik daripada ini...mungkin lapan terbaik dunia.

“Bagaimanapun, untuk memperbaiki kedudukan, saya perlu bermain baik dalam Terbuka China dan Hong Kong, tidak boleh kalah awal,” kata Chong Wei kepada Utusan Malaysia.

Chong Wei, yang sebelum ini dibayangi tiga kekalahan berturut-turut dalam pusingan awal Terbuka Jepun, Korea dan Denmark berdepan cabaran getir pada Siri Super Premier Terbuka China, 10-15 November ini apabila berpotensi berdepan juara dunia lima kali dari China, Lin Dan pada separuh akhir.

Pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik itu juga mungkin dinanti oleh rakan senegara Lin Dan dan pemain No. 1 dunia, Chen Long pada suku akhir Siri Super Terbuka Hong Kong yang berlangsung dari 17-22 November. -UTUSAN


Chong Wei Kembali Dalam 10 Terbaik Chong Wei Kembali Dalam 10 Terbaik Reviewed by Unknown on November 10, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.