Seo Services

Pembebasan Thien Tak Libatkan Bayaran Wang Tebusan - Ahmad Zahid


MANCHESTER, 10 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembebasan mangsa culik Thien Nyuk Fun oleh kumpulan penculik di selatan Filipina tidak melibatkan pembayaran wang tebusan sebaliknya hasil rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dengan kumpulan penculik terbabit.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kejayaan membebaskan mangsa culik itu juga hasil kerjasama rapat dengan pihak berkuasa Filipina.

"Penculikan telah dapat diselesaikan bagi seorang mangsa namun seorang lagi mangsa belum dapat dilepaskan. Rundingan terus dijalankan oleh pihak kami, dan tidak ada jumlah wang tebusan yang terlibat melainkan melalui rundingan-rundingan oleh pihak kami.

"Kami yakin jika pihak penculik bermurah hati untuk tidak mengenakan syarat-syarat yang ketat, maka kami harap seorang lagi mangsa culik dapat dlepaskan dalam waktu yang terdekat," katanya ketika diminta mengulas mengenai pembebasan Thien di sini pada Isnin malam.

Ahmad Zahid yang sedang dalam rangka lawatan empat hari ke United Kingdom, berada di sini kerana menghadiri jamuan malam bersama-sama diaspora Malaysia. Hampir 200 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di UK menghadiri jamuan itu.

Thien, 50, yang juga pengurus Restoran Ocean King di Sandakan, Sabah ialah antara dua yang diculik di premis itu pada Mei lepas. Seorang lagi ialah pelanggan restoran, Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak, yang belum dibebaskan.

Ditanya apa yang diminta kumpulan penculik sebagai balasan untuk pembebasan Thien jika mereka tidak meminta wang tebusan, Ahmad Zahid berkata, mereka mengenakan banyak syarat terutamanya berkaitan aspek keselamatan dan aspek peribadi.

-- BERNAMA
Pembebasan Thien Tak Libatkan Bayaran Wang Tebusan - Ahmad Zahid  Pembebasan Thien Tak Libatkan Bayaran Wang Tebusan - Ahmad Zahid Reviewed by Unknown on November 10, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.