Seo Services

Judi Siber: Polis Miri Tubuh Pasukan Khas


MIRI: Polis Miri akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi memerangi dan membendung aktiviti perjudian siber haram berikutan pembukaan pusat siber semakin banyak seperti cendawan tumbuh selepas hujan, ketika ini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Miri ACP Junaidi Bujang berkata, pasukan petugas itu kelak terdiri daripada pelbagai agensi berkaitan serta meneliti semua aspek termasuk kesahihan dan prosedur perlu diikuti sebelum boleh melakukan serbuan ke premis disah sebagai pusat perjudian siber haram.

“Pasukan petugas ini kelak melibatkan pegawai polis pakar dalam isu berkaitan perjudian menyalahi undang-undang. Kita akan menjalin bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk membendung dan melakukan serbuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri dialog dengan ahli dan para kaunselor MBM yang diketuai oleh Datuk Bandar, Lawrence Lai, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sini, semalam.

Sebelum ini, beberapa orang awam termasuk ahli politik pembangkang menyuarakan keprihatinan mereka terhadap pembukaan pusat siber semakin bertambah di sekitar bandar raya.

Menurut Junaidi, meskipun menyedari pusat ini dibuka namun pihaknya tidak boleh membuat serbuan sewenang-wenang tanpa sebarang laporan atau bukti mengesahkan mereka melakukan perjudian atas talian.

Polis laksana lebih banyak serbuan dengan kerjasama agensi lain

“Justeru, pasukan penguat kuasa perlu meneliti semua aspek termasuk undang-undang, fakta berkenaan pengoperasian atau sama ada terdapat unsur perjudian atas talian secara haram atau sebaliknya.

“Serbuan tidak boleh dilakukan begitu sahaja dan tidak semudah diperkatakan kerana polis perlu mengikut standard dan prosedur yang ditetapkan sebelum menyerbu,” katanya.

Junadi menambah, polis mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi dan tindakan hanya boleh diambil jika premis ini didapati beroperasi secara haram,” katanya.

Jelasnya, polis akan menjalankan lebih banyak serbuan dan bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan termasuk daerah.

Terdahulu dalam dialog bersama MBM, Junaidi memberitahu statistik serta laporan serbuan, tangkapan dan rampasan mesin perjudian, yang telah dilaksanakan oleh pasukan polis Miri dari bulan Januari hingga Oktober tahun ini membabitkan sejumlah 700 serbuan dengan 43 kes sudah dibuka.

“Hasil serbuan ini juga sebanyak 218 tangkapan dilakukan dan 623 set komputer dan wang tunai berjumlah RM20,361.00 berjaya dirampas,” katanya.

Manakala bagi kes dibuka (43 kes), 38 sudah selesai dan dijatuhkan hukuman manakala dua lagi kes dalam perbicaraan dan tiga kes kini masih menunggu laporan lengkap pakar judi.

Sementara itu, Lai dalam sidang media sama, ketika ditanya berhubung isu sama memberitahu pihaknya tidak lagi mengeluar sebarang lesen untuk membuka pusat siber, sejak ia dibekukan tahun 2004.

“Ini bermakna mana-mana pusat siber dibuka selepas tahun 2004 adalah tidak sah akan tetapi adakalanya, pemilik pusat ini memohon lesen berniaga bukan atas nama perniagaan pusat siber.

“Tetapi mengguna perniagaan lain namun membuka pusat siber, menyebabkan ia sukar dikesan dan mereka menggunakan alasan ‘beroperasi secara sah’ kerana mempunyai ‘lesen sah’,” jelasnya.

Sehubungan itu, menurut Lai, beliau membawa pihak Majlis mengadakan sidang dialog dengan pasukan polis di sini, bagi mengenal pasti tindakan yang perlu diambil dan mencari jalan terbaik bagi membendung dan menangani aktiviti perjudian haram di sini.

Beliau berkata, peguam Majlis juga akan bekerjasama dengan pasukan penguat kuasa polis untuk memastikan tiada halangan yang boleh menjejaskan usaha dan operasi penguatkuasaan kedua-dua pihak, atau jika pengusaha mendakwa mereka beroperasi secara sah.

Sementara itu, Lai juga menggesa orang ramai supaya memberi kerjasama dan melaporkan kepada pihak polis jika mereka mendapati adanya aktiviti perjudian siber di kawasan mereka bagi membolehkan polis bertindak.

Utusan Borneo difahamkan, lebih 200 pusat siber dipercayai menjalankan perjudian siber secara haram di sekitar bandar raya ini terutama di beberapa kawasan seperti di Lutong, Permjaya, Pujut dan Senadin, dengan ada di antaranya beroperasi 24 jam.-UB
Judi Siber: Polis Miri Tubuh Pasukan Khas Judi Siber: Polis Miri Tubuh Pasukan Khas Reviewed by Unknown on November 13, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.