Seo Services

Kerajaan Tidak Pernah Lantik Ejen Urusan Wang Tidak Dituntut


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menjalankan urusan mengutip wang yang tidak dituntut, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, warta yang dikeluarkan oleh kerajaan berhubung wang yang tidak dituntut hanya akan dibayar kepada individu yang namanya terkandung dalam warta berkenaan.

"Oleh sebab apabila ia diwartakan oleh kerajaan, maklumat itu menjadi 'public knowledge' dan pihak luar seperti ejen-ejen boleh melihat nama-nama yang mempunyai wang yang tidak dituntut ini.

"Ingin saya tegaskan bahawa lantikan ejen oleh mana-mana individu adalah di luar bidang kuasa kerajaan, dan bayaran hanya dilakukan terus kepada tuan punya nama dan akaun sahaja," katanya menjawab soalan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) di Dewan Rakyat hari ini.


Kulasegaran meminta Johari menerangkan bagaimana pihak ejen boleh mengetahui maklumat mengenai individu yang mempunyai wang tidak dituntut serta jumlah wang yang tidak dituntut dan dikembalikan semula kepada kerajaan sejak 2005.

Johari berkata, setakat Oktober 2015, jumlah wang yang tidak dituntut yang diserahkan kepada pendaftar wang, berjumlah RM7.6 bilion dan baki semasa berjumlah RM5.3 bilion.

Beliau berkata, individu terbabit boleh berkunjung ke kaunter Akauntan Negara Malaysia di seluruh negara untuk membuat semakan dan memohon bayaran berkenaan.

"Kerajaan juga dalam usaha untuk membangunkan sistem secara dalam talian yang akan membolehkan urusan penyemakan dan permohonan wang yang tidak dituntut, dilakukan dengan lebih mudah," katanya.

Johari berkata, terdapat tiga kategori tuntutan wang yang tidak dituntut iaitu pembayaran seperti gaji, bonus dan polisi insurans yang tidak dituntut selepas setahun, surat kepada pemiutang oleh pihak syarikat yang mana wang yang tidak dituntut melebihi dua tahun, serta wang dalam akaun semasa dan akaun tetap yang melebihi tempoh tujuh tahun. - BERNAMA
Kerajaan Tidak Pernah Lantik Ejen Urusan Wang Tidak Dituntut Kerajaan Tidak Pernah Lantik Ejen Urusan Wang Tidak Dituntut Reviewed by uMieySurianie on November 05, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.