DUBAI – Dua lelaki bersayap terbang ‘berdampingan’ dengan sebuah pesawat penumpang terbesar di dunia jenis Airbus A380 milik syarikat Emirates di ruang angkasa bandar raya Dubai untuk pembikinan satu video iklan.
Kedua-duanya yang mengenakan jetpack (baju khas dengan pendorong roket dan sayap) tersebut dilihat seperti cuba mengejar pesawat superjumbo itu pada jarak ketinggian 6,000 kaki (sekitar 2,000 meter dari paras laut).
Menurut media tempatan, Yves Rossy dan Vince Reffet yang kerjaya mereka berdua ialah stuntman atau pelagak ngeri profesional sebelum ini memang sudah terkenal dengan pelbagai aksi berbahaya terbang bersayap di langit.
Dalam video yang dapat disaksikan menerusi laman YouTube itu, terlihat betapa kecilnya dua lelaki ini yang juga digelar Jetman di sisi sebuah Airbus A380. Video ini juga dipaparkan dalam resolusi 4K dengan kejelasan tinggi.
Perlu diketahui bahawa model A380 ialah pesawat penumpang komersial dua tingkat paling besar di dunia pada masa ini yang mampu mengangkut lebih 800 penumpang dan biasanya digunakan untuk penerbangan jarak jauh.
Bayangkanlah konfigurasi dimensi panjang 72 meter, tinggi 24 meter, serta lebar sayap mencapai 79 meter, kelibat dua lelaki pelagak ngeri itu kelihatan seperti burung kecil yang cuba terbang selari dengan pesawat gergasi itu.
Syarikat Emirates sendiri pada ketika ini menjadi operator A380 terbesar di dunia dengan armadanya sahaja memiliki lebih 60 buah pesawat tersebut, malah 140 unit lagi sedang dalam pesanan penghantaran berikutnya.
Untuk merakam video aksi dua pilot Jetman yang sedang ‘mengejar’ Airbus A380 ini juga tidak mudah bahkan pasukan terlibat turut membuat rakaman berasingan dari sebuah lagi pesawat kecil yang terbang berdampingan.
Aksi Rossy dan Reffet dengan jetpack-nya ini bukan yang pertama kali. Sebelum ini mereka juga pernah terbang ‘melintasi’ Burj Khalifa, menara terkenal ikon Dubai dengan pakaian khasnya itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Lelaki Bersayap Terbang Sebelah Pesawat Demi Iklan Emirates
Reviewed by uMieySurianie
on
November 07, 2015
Rating:
No comments: