Seo Services

Masyarakat Hindu Malaysia Sambut Pesta Cahaya


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Segala-galanya telah sedia. Di anjung sudah dipasang lampu berwarna-warni yang berkerlipan, di ruang tamu kertas dan kain pelbagai warna digantung dari siling dan di pintu masuk sudah diletak lampu minyak dengan hiasan "kolam" yang indah.

Suasana yang meriah ini ditambah dengan keharuman bau setanggi menjadikan Ashwina Murali yang berusia lapan tahun tidak senang duduk.

Anak kecil ini semakin teruja untuk meraikan Deepavali yang juga dikenali sebagai Diwali.

Kegembiraan ini turut dikongsi dua beradik iaitu Nivashinee dan abangnya, Prashant yang berusia 16 tahun. Malam Deepavali menjadi lebih meriah dengan permainan bunga api dan mercun. MERAIKAN DEEPAVALI

Deepavali atau Diwali diraikan masyarakat Hindu, Sikh dan Jain di seluruh dunia. Perayaan ini adalah antara perayaan utama yang disambut masyarakat India.

Meskipun mereka ini meraikan Deepavali dengan cara masing-masing, namun pada asasnya perayaan ini mengingatkan mereka kepada kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan.

Rakyat Malaysia sudah biasa dengan perayaan yang disambut oleh rakan-rakan India mereka serta persiapan yang perlu dibuat menjelang hari perayaan.

Lazimnya masyarakat India akan sibuk membersihkan kediaman masing-masing dan menghias apa yang patut dan kemudiannya menjamu tetamu selaras dengan semangat rakyat Malaysia yang biasa mengadakan rumah terbuka semasa perayaan.

Bagi mereka yang tidak asing dengan Jalan Masjid India, Lebuh Ampang dan Little India di Brickfields, pastinya biasa dengan suasana sibuk pengunjung yang membeli-belah. Kompleks beli-belah utama turut menghiasi ruang legar mereka dengan kolam serta lampu berwarna-warni yang menambah lagi suasana meriah menjelang Deepavali.

R.Kumarasen yang berusia 50-an dan tinggal di Seremban adalah antara pengunjung setia Jalan Masjid India. Bagi beliau keadaan memang telah banyak berubah.

"Semasa saya muda tak banyak kedai yang menyediakan keperluan masyarakat India berbanding sekarang. Anda boleh lihat begitu ramai sekali peniaga yang menjual barangan keperluan untuk Deepavali ini. Ada juga yang membeli telefon bimbit baru sempena perayaan ini.

"Tak perlu juga sibuk nak buat kuih. Banyak yang boleh dibeli seperti Maruku, Omapodi, nei urundai (bebola minyak sapi), athiresam (kuih seakan donut) dan macam-macam lagi," katanya sambil menambah semua kuih-muih itu perlu disediakan lebih awal jika mahu dibuat sendiri. TRADISI PERAYAAN

Pada hari kebesaran ini, masyarakat Hindu lazimnya akan bangun awal dan perkara tradisi pertama yang akan dilakukan ialah mandi menggunakan minyak halia serta bedak Shikakai (kombinasi herba).

Generasi muda hari ini bagaimanapun lebih menyukai penggunaan sabun dan syampu sahaja untuk mandi di pagi Deepavali.

Kaum lelaki akan memakai dhoti atau kurta sementara kaum perempuan akan mengenakan sari sutera atau suit Punjabi pelbagai warna sebelum keluar ke kuil.

Masyarakat Hindu akan bersembahyang dan mendoakan orang tua mereka serta yang sudah meninggal dunia dan tradisi ini masih dipegang kuat sehingga hari ini.

Acara yang paling menarik pada perayaan Diwali ini ialah dari konteks masyarakat Malaysia iaitu rumah terbuka.

Masa inilah untuk menjamu selera makanan India yang semuanya sedap-sedap belaka seperti kari ayam atau kambing, puri, idli dan thosai. LAIN DULU LAIN SEKARANG

Bagaimanapun, seperti apa yang dikatakan oleh Kumarasen, masa sudah berubah dan cara Deepavali diraikan turut mengalami perubahan.

Anita Murugan, pelajar sebaran am yang sedang menjalani latihan amali di Bernama berkongsi dengan penulis ketika dia masih kanak-kanak, jiran tetangganya akan berlumba-lumba untuk membakar mercun sehingga lewat malam.

Menurut beliau, pada hari ini memandangkan kawasan kejiranan telah menubuhkan persatuan, tempoh untuk membakar mercun dan bermain bunga api telah dihadkan.

Lazimnya waktu yang dibenarkan setakat pukul 10 malam sahaja tetapi ada kalanya ada pihak yang tidak mematuhi peraturan ini.

Anita turut menyatakan bahawa sebelum ini kaum perempuan India akan sibuk menyediakan manisan serta juadah Deepavali tetapi sekarang semuanya sudah boleh dibeli.

Keadaan ini banyak membantu mereka yang sibuk dan kesuntukan masa untuk menyediakan keperluan juadah Deepavali.

Tambahan ramai yang sudah mula sedar tentang penjagaan kesihatan terutamanya semasa musim perayaan dan tidak mahu mengambil terlalu banyak makanan manis serta yang berdaging.

Anita juga menyatakan pada masa lampau sehingga awal tahun-tahun 1980-an, ramai yang akan menyalakan 'diyas' (lampu minyak) di sekeliling rumah mereka tetapi sekarang tradisi ini ditukar dengan penggunaan lamu elektrik.

Mereka yang mempunyai keluarga besar akan berjumpa pada hari kebesaran ini dan masing-masing bertukar hadiah.

Bagaimanapun, memandangkan pada masa ini ramai yang tinggal berjauhan, mereka akan bertukar ucapan menerusi telefon dan media sosial untuk mengekalkan kemeriahan suasana Diwali.

Ada yang menggunakan perkhidmatan kiriman cepat untuk pemberian hadiah, snek serta makanan.

Satu lagi perkara yang Anita nampak perbezaannya ialah tradisi mengirim dan menerima kad Deepavali yang hampir tenggelam.

Sekarang semuanya dihantar menerusi telefon bimbit seperti kad elektronik serta media sosial seperti Facebook.

Apa pun kemeriahan sambutan Deepavali tetap dapat dirasakan meskipun banyak perubahan sudah berlaku.

Kami di Bernama ingin mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada semua rakyat Malaysia. Semoga kita akan terus hidup dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera.

BERNAMA
Masyarakat Hindu Malaysia Sambut Pesta Cahaya Masyarakat Hindu Malaysia Sambut Pesta Cahaya Reviewed by Unknown on November 10, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.