KLUANG 15 Nov. – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendedahkan, kumpulan militan Negara Islam (IS) telah mengeluarkan senarai nama beberapa pemimpin negara ini sebagai sasaran mereka.
Menurut beliau, ancaman serta ugutan terhadap beberapa tokoh terkenal termasuk beliau itu telah dikeluarkan sejak sekian lama yang berkemungkinan hanya untuk tujuan menakut-nakutkan mereka.
Hishammuddin berkata, biarpun ugutan itu bukan perkara baharu namun maklumat dan perkembangan semasa sentiasa dilaporkan kepada beliau untuk memantau pergerakan kumpulan tersebut di negara ini.
“Memang IS sudah mengeluarkan senarai sasaran mereka terhadap pemimpin-pemimpin negara tetapi saya mahu maklumkan bahawa ia tidak akan menakutkan kita.
“Sebaliknya, saya bersama Menteri Pertahanan ASEAN lain akan terus pastikan ASEAN menentang mereka habis-habisan. Namun, kita tidak mengambil mudah perkara itu kerana sesiapa pun boleh menjadi individu yang mencetuskan huru-hara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Muafakat Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz dan pemimpin-pemimpin lain.
Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, senarai nama tersebut telah dikeluarkan sebelum perjanjian bersama menentang keganasan antara Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dimeterai Mac lalu di Langkawi.
Sementara itu, beliau berkata, tragedi serangan berdarah di Perancis tidak menghairankan, sebaliknya apa yang dibimbangi adalah skala serangan itu yang boleh merebak ke tempat lain.
“Beberapa kumpulan pengganas termasuk Abu Sayyaf telah berikrar menyokong IS. Jadi, ideologi itu perlu diperangi dengan cara perkongsian risikan dengan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis yang mempunyai hubungan ketenteraan rapat dengan kita.
“IS akan menimbulkan huru-hara sekiranya kestabilan ekonomi dan politik tidak dipelihara. Oleh itu, adalah penting untuk kita kekalkan perkara itu daripada dieksploitasi atau diambil kesempatan oleh pihak seperti mereka,” katanya. - Utusan
Pemimpin Malaysia turut diancam militan IS
Reviewed by Admin
on
November 16, 2015
Rating:
No comments: