Kuching : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bersiap sedia dari semua aspek terutamanya dari segi latihan dan logistik menjelang pilihan raya negeri Sarawak yang mungkin akan diadakan tidak lama lagi.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya menunggu tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan dibubarkan oleh Tuan Yang Dipertua Negeri Sarawak.
“Kita hanya tunggu pembubaran sidang DUN Sarawak yang diadakan selewat-lewatnya pada 19 Jun tahun hadapan selepas tempoh 5 tahun semenjak persidangan DUN yang pertama pada Jun 2011.
“Tetapi kebiasaanya tarikh pilihan raya akan diumumkan terlebih awal dari tarikh pembubaran dan sebab itulah pihak SPR perlu membuat persedian dari segi tambahan tenaga kerja agar proses perjalanan pilihan raya berjalan dengan lancar”,
“Pada masa ini laporan akhir persempadanan semula kerusi pilihan raya Sarawak dari 71 kepada 82 kerusi Dun telahpun diserahkan kepada parlimen dan akan dibentangkan pada 2 Disember ini kemudiannya akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong (Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah) untuk mendapat perkenan baginda,"
Beliau berkata sedemikian semasa mengadakan Sidang Media selepas merasmikan sesi taklimat dan kepada bakal petugas PRU Dun Sarawak, di sini pagi tadi.
Abdul Aziz berkata, bagi aspek latihan pihak SPR telah membuat sesi taklimat dan latihan kepada semua pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus dan ketua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya yang bakal dilantik melibatkan seramai 369 orang.
"Walaubagaimanapun SPR sudah mengenal pasti 82 calon untuk mengisi jawatan Pegawai Pengurus dan 100 calon untuk dilantik sebagai Penolong Pegawai Pengurus untuk semua 82 kawasan pilihan raya,"
Taklimat dan latihan diadakan bermula pada hari ini sehingga 20 November 2015 mengikut Zon iaitu Kuching, Sri Aman, Sibu dan Miri dan dijangka seramai 15,000 petugas bagi seluruh Sarawak dari pelbagai pangkat yang akan terlibat dalam pilihan raya kelak.
“Tujuan SPR mengadakan sesi taklimat dan latihan ini adalah untuk melengkapkan diri semua petugas pilihan raya dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dan kefahaman yang jelas berkaitan bidang kuasa masing-masing, supaya proses PRN Sarawak ke-11 dapat dijalankan dengan lancar mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya,”
“Manakala sesi taklimat dan latihan untuk bakal petugas-petugas PRN Sarawak yang lain seperti Ketua Tempat Mengundi (KTM), Kerani Pengundian (KP), Kerani Mengira Undi (KMU), Penyelia Pusat Mengundi (PPM) dan sebagainya akan diadakan pada Fasa Kedua mengikut zon-zon yang ditetapkan,”
Beliau juga berharap, sesi taklimat dan latihan ini dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan peranan semua petugas-petugas pilihan raya dan memastikan semua bakal petugas tidak melakukan sebarang kesilapan yang bertentangan dengan undang-undang dalam menghadapi PRN Sarawak Ke-11.
“Justeru itu, saya juga berharap PRN Sarawak kali ini akan menjadi PRN yang terbaik dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam menghadapi pilihan raya negeri,” - Sarawakiana
PRN Sarawak : SPR Telah Bersiap Sedia
Reviewed by Unknown
on
November 16, 2015
Rating:
No comments: