Seo Services

Permudahkanlah Urusan Keluarga Ini Ya Allah.


Alor Setar: Demi kasih terhadap isterinya yang lumpuh sebelah kaki, lelaki orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan Alee Bohnah@Mustaffa, 53, cekal membawa isterinya ke mana saja dengan menolak kerusi roda isterinya, termasuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, bagi menjalani pemeriksaan kesihatan yang jaraknya hampir lima kilometer.

Alee yang kabur kedua-dua mata sejak lahir berkata, selain faktor OKU, keadaan keluarganya yang hidup dalam serba kekurangan membuatkan dia terpaksa menolak kerusi roda isterinya, Che Pora Saad, 56, setiap kali mahu menghantar wanita terbabit ke hospital atau ke mana saja.

Katanya, walaupun mempunyai pekerjaan sebagai pembantu gerai makan, ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga memandangkan masih menanggung persekolahan dua anak gadisnya berusia 19 dan 16 tahun yang juga OKU iaitu lembam dan menghadapi masalah pembelajaran serta seorang cucu lelaki berusia lapan tahun.

"Kerusi roda ini akan memudahkan urusan seharian menjaga isteri sepenuh masa termasuk menghantar isteri ke hospital bagi menjalani pemeriksaan dengan pakar berikutan disahkan menghidap tiroid sejak lebih 15 tahun lalu.

"Walaupun perit kerana kadang kala terpaksa mengharung panas terik dan hujan, saya perlu mengharunginya kerana tidak mampu untuk menunggang motosikal sendiri berikutan masalah penglihatan dan kerusi roda ini adalah hasil sumbangan daripada individu persendirian ahli politik di kawasan ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Setia Jaya, di sini, hari ini.

Menurut Alee, Che Pora mengalami lumpuh kaki kiri selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira tujuh tahun lalu dan sejak itu isterinya tidak mampu lagi melakukan kerja rumah termasuk menguruskan diri seperti insan normal lain berikutan penyakit asma yang turut dihidapi sejak kecil.

Katanya, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarganya selama ini termasuk menyumbang kerusi roda berkenaan.

"Ini semua ketentuan Allah SWT dan saya tidak pernah bersungut kerana walaupun ada segelintir masyarakat yang memandang hina golongan seperti keluarga saya ini, tapi masih ada segelintir lagi yang bersimpati dengan menumpangkan kami apabila terserempak di mana-mana," katanya.

Alle mendapat perhatian umum selepas gambarnya menolak isterinya menggunakan kerusi roda ketika dalam perjalanan ke HSB tersebar di Facebook semalam. -Metro
Permudahkanlah Urusan Keluarga Ini Ya Allah. Permudahkanlah Urusan Keluarga Ini Ya Allah. Reviewed by Unknown on November 08, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.