BINTULU: Unit Penguatkuasaan Imigresen Lapangan Terbang Bintulu, di sini berjaya menahan seramai 11 warga Bangladesh, Rabu lalu.
Mereka ditahan secara berasingan di tiga kaunter balai berlepas ketika sedang berurusan dengan pegawai imigresen bagi mendapatkan pemeriksaan keluar.
Namun, ketika pemeriksaan, pegawai bertugas mengesyaki ada sesuatu tidak kena dengan pasport dibawa semua lelaki Bangladesh berkenaan sebelum merujuk perkara tersebut kepada Ketua Operasi Pegawai Imigresen Kanan (PIK) Awang Ismail.
Hasil pemeriksaan, saringan dan dokumentasi mendapati, kesemua lelaki tersebut disyaki melakukan jenayah kerana melanggar Akta Imigresn 1959/63 dan Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana menyamar dengan menggunakan pasport milik orang lain.
Ini juga bermakna, mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri sah dan turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Jika sabit kesalahan, kesemua pendatang tanpa izin (PATI) ini boleh dikena denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tahanan kemudiannya dihantar ke Balai Polis Sentral Bintulu untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan, Unit Penguatkuasaan Imigresen Bahagian Bintulu juga menjalankan operasi Ops Ikrar di dua lokasi berbeza, Khamis lalu.
Lokasi serbuan adalah di rumah tidak bernombor di Jalan Pisang Tanduk dan rumah tidak bernombor di Bintulu City Mall.
Hasil serbuan pertama berjaya menahan seramai dua warga Indonesia iaitu seorang lelaki dan seorang wanita disyaki melakukan kesalahan telah tinggal dalam tempoh masa lama di negara ini dan melanggar Akta Imigresen 1959/63.
Manakala serbuan kedua yang dijalankan di rumah tidak bernombor di Bintulu City Mall telah memeriksa lima lelaki warga asing dan mendapati tiga daripadanya melakukan kesalahan tinggal dalam tempoh masa lama di negara ini serta gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah untuk berada di Malaysia.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Sarawak Gary Belayong John Sikie melahirkan harapan agar usaha gigih bagi membanteras PATI di negeri ini akan dapat dipergiatkan lagi dari semasa ke semasa.
“Selain itu, saya mewakili warga Imigresen ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat awam banyak membantu operasi dengan memberi maklumat mengenai kehadiran PATI di kawasan masing-masing,” katanya.
Ketiga-tiga PATI warga Indonesia itu juga dihantar ke Balai Polis Sentral Bintulu untuk siasatan dan tindakan lanjut.-UB
11 Warga Bangladesh Guna Pasport Milik Orang Lain Ditahan
Reviewed by Unknown
on
November 08, 2015
Rating:
No comments: