gambar hiasan |
KUCHING, 5 Nov (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima menumpaskan aktiviti pemunggahan kayu balak tanpa permit berikutan penahanan lima lelaki termasuk tiga warga Indonesia dalam serbuan di Sungai Lobak Bunut Pendam Bangkit dekat Bintagor Khamis.
Komander PPM Wilayah Lima Sarawak ACP N. Kalai Chelvan berkata dalam serbuan pada 9.15 pagi itu, pihaknya turut merampas 800 batang kayu balak pelbagai saiz dan jenis bernilai RMRM247,500; dua buah kapal (RM1.8 juta) serta dua buah kren (RM500,000) dengan nilai keseluruhan rampasan RM2.5 juta.
Menurutnya dalam Op Pensura diketuai ASP Pangji Eseng bersama-sama dua anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM Wilayah Lima Kuching, tiga anggota PPM Wilayah Lima Sarikei, dua anggota PPM Wilayah Lima Sibu dan seorang Pengawas Hutan Jabatan Hutan Sarawak itu menjumpai dua bot yang sarat dengan muatan kayu balak di sungai tersebut.
"Semasa pemeriksaan ke atas kapal pertama iaitu 'Golden Light', pasukan operasi menemui 350 batang kayu balak pelbagai saiz dan jenis manakala pemeriksaan ke atas kapal kedua iaitu 'Gou Ting' menemukan 450 batang kayu balak pelbagai saiz dan jenis.
"Semua kayu balak yang diperiksa itu tidak mempunyai cop Jabatan Hutan Sarawak dan dipercayai diperoleh secara haram," katanya dalam kenyataan Khamis.
Kalai Chelvan berkata pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti yang dilakukan lima lelaki yang berusia antara 20 dan 40 tahun itu merupakan kesalahan di bawah Ordinan Perhutanan Negeri.
Katanya, satu laporan polis dibuat dan hasil rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak Bahagian Sarikei untuk tindakan lanjut manakala tiga pekerja Indonesia itu ditahan di bawah Akta Imigresen untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
Polis Marin Tumpas Aktiviti Punggah Balak Haram Di Bintagor
Reviewed by Admin
on
November 05, 2015
Rating:
No comments: