Dia terpaksa memotong sedikit rambutnya sewaktu pertukaran gelanggang set pertama, tetapi tetap gagal memperbaiki permainannya ketika tewas kepada Rafael Nadal yang mempamerkan peningkatan prestasi dalam aksi peringkat kumpulan Jelajah Akhir ATP semalam.
Bintang tenis Sepanyol itu berjaya mengatasi persaingan sengit set pertama, sebelum diberi laluan mudah dalam set kedua untuk memastikan kemenangan menjadi miliknya 6-4, 6-1 di 02 Arena.
Nadal menempah slot separuh akhir setelah Stan Wawrinka menewaskan David Ferrer 7-5, 6-2 dalam satu lagi perlawanan.
Murray pula akan beraksi menentang Wawrinka dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini dan perlu menang untuk melayakkan diri.
“Dia berjaya melakukan hantaran bola dari belakang gelanggang dengan cukup baik, tetapi saya pula gagal membantu diri sendiri. Saya melakukan begitu banyak kesilapan ketika membuat servis sewaktuberada di penghujung set pertama.
“Kekurangan tersebut hanya memburukkan keadaan apabila lawan bermain dengan baik,” kata Murray, yang melakukan 29 kesilapan tidak disengajakan.
Ketika ketinggalan 1-2 dalam set pertama, Murray telah bertindak memotong rambut depannya sewaktu pertukaran gelanggang dilakukan.
“Saya tidak tahu mengapa perkara kecil seperti itu diperbesar-besarkan. Rambut depan menutup mata saya, dan saya cuma mahu memotong rambut berkenaan. Ia hanya mengambil masa dua saat untuk berbuat demikian. Itu sahaja.
“Perbuatan itu tiada kena-mengena dengan pertandingan minggu depan ataupun keputusan yang dicatat dalam perlawanan hari ini (semalam),” kata Murray.
Pemain Scotland berusia 28 tahun itu akan ke Belgium minggu depan untuk membantu Great Britain yang layak ke perlawanan akhir Piala Davis buat kali pertama sejak 1978.
Sementara itu, Nadal berkata, dia tidak perasan tentang perbuatan Murray tersebut, tetapi ketawa apabila lawannya itu memaklumkan rambutnya telah merimaskan dirinya.
“Saya memang tidak tahu-menahu mengenai hal tersebut. Namun, itu satu penyelesaian yang baik,” kata Nadal sebelum memuji kepandaian Murray menggunakan gunting.
Mungkin tindakan tersebut membantu, kerana Murray selepas itu berjaya menyempurnakan servisnya dengan lebih baik. Bagaimanapun, Nadal berjaya bangkit dan memintas Murray sebelum melebarkan kedudukan untuk meraih kemenangan dalam set pertama. – AGENSI
Potong Rambut Gagal Bantu Murray Tundukkan Nadal
Reviewed by Unknown
on
November 20, 2015
Rating:
No comments: