KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yakin perayaan Deepavali disambut dengan penuh semangat muhibah sekali gus memupuk tali persaudaraan dan keharmonian lebih kukuh dalam kalangan semua kumpulan etnik di Malaysia.
Perdana Menteri dalam perutusan Deepavali 2015 yang akan disambut masyarakat beragama Hindu esok berkata, rakyat Malaysia amat bertuah kerana dapat mengamalkan tradisi yang diamalkan sejak turun-temurun dengan amalan kunjung mengunjung.
"Kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu, saya bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali. "Sebagai sebuah negara, kita berasa amat bertuah kerana kita dapat mengamalkan tradisi yang telah diamalkan sejak turun-temurun.
"Hidangan juadah yang enak dan keindahan rumah yang diterangi cahaya dan suasana kegembiraan adalah sesuatu yang dapat kita lihat ketika mengunjungi rumah terbuka sahabat-sahabat Hindu kita," katanya dalam perutusan yang dimuat naik menerusi blog NajibRazak.com hari ini.
Perdana Menteri berkata, dalam menyambut pesta cahaya yang membawa pengertian kejayaan cahaya mengatasi kegelapan dan kebaikan menumpaskan kezaliman, masyarakat jangan lupa untuk terus menghulur bantuan dan saling tolong menolong.
"Gunakanlah kesempatan seperti ini untuk melipatgandakan usaha kita demi memberi harapan yang lebih baik kepada masyarakat sekitar," katanya.
Beliau berkata, kerajaan mengulangi pendirian akan terus membantu masyarakat India dalam meningkatkan struktur, budaya dan ekonomi mereka agar tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.
Katanya, komitmen itu dapat dilihat dengan jelas melalui pelbagai inisiatif khusus yang dilaksanakan serta komitmen kerajaan dalam Bajet 2016 dan Rancangan Malaysia ke-11 yang akan menghasilkan satu pelan induk bagi hala tuju pembangunan sosioekonomi kaum India. - BH
Sambut Deepavali Penuh Semangat Muhibah, Harmoni - Najib
Reviewed by uMieySurianie
on
November 09, 2015
Rating:
No comments: