KUCHING: Kemuncak Pesta Simunjan di Pekan Simunjan bermula Jumaat ini (esok) dijangka menerima lebih 10,000 pengunjung dari dalam dan luar daerah Simunjan, demikian kata Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Mohd Naroden Majais semalam.
Katanya, rangkaian jalan raya yang semakin baik ke Simunjan membolehkan orang ramai terutama dari Kuching, Serian, Lundu, Kota Samarahan, Sebuyau malah dari Sri Aman, Sarikei dan Sibu menyaksikan pelbagai acara sepanjang pesta ini.
Jelasnya, untuk datang ke Pekan Simunjan ia amat mudah dengan melalui Serian dan Kampung Gedong.
Manakala dari Kampung Gedong orang ramai boleh terus ke Pekan Simunjan melalui rangkaian jalan raya baharu dengan dua jambatan dengan mengambil masa tidak sampai 15 minit, katanya.
Sementara bagi mereka yang datang dari Samarahan, Asajaya dan Sadong Jaya mereka boleh menggunakan feri di Sungai Buluh dekat Sadong Jaya juga hanya mengambil masa yang amat singkat.
Mereka yang datang dari arah Sebuyau pula boleh datang terus ke Pekan Simunjan melalui rangkaian jalan raya yang lebih baik.
Menurutnya, acara menarik sepanjang pesta ini ialah Regata Batang Sadong, Simunjan Kitchen yang menonjolkan pelbagai masakan penduduk tempatan di Simunjan dan Showcase Usahawan Bumiputera.
Apa yang menarik ialah apabila penduduk tempatan di Simunjan berebut-rebut mengambil peluang berniaga dan mahu menonjolkan produk usahawan dan pembuatan masing-masing sempena Pesta Simunjan.
Ini dapat dilihat apabila pihak penganjur terpaksa menyediakan 300 petak jual an dan pameran bagi memenuhi permintaan penduduk tempatan yang ingin berniaga sementara sempena pesta ini kelak, katanya dalam temu bual yang disiarkan secara langsung menerusi Sarawak fm di sini semalam.
Temu bual itu bertujuan untuk mengumumkan Pesta Simunjan yang akan diadakan di Pekan Simunjan bermula Jumaat ini hingga 8 November.
Pesta Simunjan akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, manakala upacara penangguhannya akan dilakukan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Pelbagai acara menarik lain turut diadakan sepanjang Pesta Simunjan yang bertemakan Juh!! Nyengok Munjan antaranya ialah gerai jualan, pertandingan poco-poco, Ratu Sadong, Kumang Pesta, Pertandingan Tandak Lama, Pertunjukan kereta berhias Battle of The band, pertandingan hadrah, karaoke dan pesta buah-buahan.
Sebelum ini diadakan beberapa acara sukan darat seperti pertandingan futsal yang telah diadakan bermula 10 hingga 31 Oktober lalu.
Naroden berkata, sehingga ini semua rumah tumpangan, hotel dan resort di Simunjan telah habis ditempah oleh ramai dari luar yang ingin menyertai pelbagai acara sempena Pesta Simunjan. Menurutnya, lebih mengagumkan apabila penduduk tempatan di Simunjan amat gembira apabila Pesta Simunjan ini diadakan pada tahun ini.
Sehubungan ini kira-kira 1,000 penduduk Simunjan secara sukarela membantu membersihkan kawasan di tebingan Simunjan yang akan dijadikan tapak Pesta Simunjan terutama acara Regata Batang Sadong, katanya. - Utusan Sarawak
Seramai 10,000 Pengunjung Bakal Meriahkan Pesta Simunjan
Reviewed by uMieySurianie
on
November 05, 2015
Rating:
No comments: