Seo Services

Taman Perindustrian Samalaju Terima Peruntukan RM237.25 Juta


BINTULU: Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan tahunan sebanyak RM237.25 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi pembangunan Taman Perindustrian Samalaju (SIP), di sini.

Timbalan Pengarah Unit Perancang Negeri Sarawak, Buckland Bangik, berkata SIP yang juga sebahagian daripada Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), turut menerima pelaburan sebanyak RM25 bilion setakat ini.

"Kita mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan lebih banyak dana daripada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan SIP sebagai taman perindustrian utama negara," katanya kepada Bernama.

Buckland berkata, jumlah pelaburan bagi keseluruhan SCORE adalah sebanyak RM30 bilion yang merangkumi 25 syarikat serta 20 projek.

Malah, sebahagian besar projek itu terletak di SIP dan setakat ini empat syarikat sudah memulakan operasi masing-masing iaitu syarikat peleburan aluminum Press Metal Bhd, syarikat Jepun Tokuyama Corp (silikon polihabluran), OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd (kilang peleburan ferro silikon) dan Permata Ferroalloy (silikon mangan).

"Tokoyama adalah pelabur pertama di SIP menerusi pembinaan sebuah kilang besar," katanya.

SIP yang meliputi kawasan hijau seluas 8,000 hektar, terletak kira-kira 62 kilometer dari bandar Bintulu.

Menurut Buckland, taman perindustrian itu akan turut dilengkapi sebuah kawasan perbandaran baharu dikenali Taman Eko Samalaju yang dibangunkan oleh Samalaju Property Sdn Bhd.

"Matlamat kita adalah untuk mewujudkan taman perindustrian dan perbandaran yang memiliki kepakaran dalam industri utama dengan kemudahan teknologi serba maju," katanya.

Buckland berkata, SIP akan menumpukan usaha pembangunan serta pemprosesan bahan mentah serta kegiatan industri hiliran.

Beliau turut menyifatkan kalangan pelabur membuat keputusan yang bijak serta tepat apabila memilih untuk bertapak di SIP.

"Semua pihak saling bekerjasama untuk memastikan SIP dapat dibangunkan sebagai taman perindustrian bertaraf antarabangsa dan menepati kehendak pelabur global," katanya.

-- BERNAMA
Taman Perindustrian Samalaju Terima Peruntukan RM237.25 Juta Taman Perindustrian Samalaju Terima Peruntukan RM237.25 Juta Reviewed by Unknown on November 18, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.