Seo Services

Tiada Tempat Untuk Ekstremisme Melampau Dalam ASEAN - Najib


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta negara-negara anggota ASEAN supaya bersepakat menentang ancaman ekstremisme melampau susulan insiden serangan di Paris serta pembunuhan kejam seorang rakyat Malaysia oleh kumpulan militan di selatan Filipina.

Perdana Menteri berkata, rantau ASEAN, yang dihuni oleh lebih 600 juta penduduk, mesti kekal sebagai mata arah kepada kesederhanaan dan wahah keamanan dan toleransi.

Beliau menegaskan bahawa rakyat ASEAN merupakan masyarakat yang sederhana yang telah menempa nama dan dihormati, hasil daripada kepelbagaian, kepercayaan, etnik dan budaya.

"Contoh kuasa kita ada masyarakat yang kekal aman, toleransi, harmoni dan inklusif dan ia adalah benteng pertahanan yang terbaik dan terjamin dalam menentang ekstrimesme melampau, kumpulan pengganas dan mereka yang mahu memusnahkan cara kehidupan kita," katanya.

Najib berkata demikian semasa merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2015 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Berkaitan di sini hari ini.

Berhubung ancaman yang dicetuskan oleh kumpulan yang cenderung menimbulkan masalah, Najib berkata: "Kita mesti bersepakat dan komuniti perniagaan perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan rantau ASEAN terus menikmati keamanan dan kestabilan."

Najib, yang akan mempengerusikan perhimpunan Kuala Lumpur atas kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN 2015, berkata beliau akan mengulas lanjut mengenai ancaman keganasan pada Sidang Kemuncak ASEAN, esok.

"Saya akan berucap esok mengenai beberapa daripada ancaman ini...apa yang berlaku di Paris dan warga kita sendiri, Bernard Then yang dibunuh dengan cara paling kejam," katanya.

Then antara dua rakyat Malaysia diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah, pada 14 Mei lepas.

Seorang lagi mangsa tebusan, bagaimanapun dibebaskan pada 8 Nov lepas.

Then, 39, seorang jurutera elektrik dari Sarawak, dipenggal oleh kumpulan militan itu di Jolo di kepulauan Sulu, selatan Filipina, Selasa lepas.

Dalam insiden serangan pengeboman berani mati di beberapa lokasi di bandaraya di Paris, 13 Nov lepas, sejumlah 129 orang dilaporkan terkorban dan lebih 350 mengalami kecederaan.

Serangan tersebut telah mencetuskan kemarahan komuniti antarabangsa termasuk kutukan keras oleh kerajaan Malaysia.- BERNAMA
Tiada Tempat Untuk Ekstremisme Melampau Dalam ASEAN - Najib Tiada Tempat Untuk Ekstremisme Melampau Dalam ASEAN - Najib Reviewed by uMieySurianie on November 20, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.