Seo Services

Fasa Pertama Guru Bertukar Selesai Minggu Depan - Mahdzir


KUALA LUMPUR: Fasa pertama membabitkan pertukaran guru yang memohon bertukar mengikut pasangan masing-masing akan selesai pada minggu depan, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata jumlah sebenar guru yang akan bertukar bagi fasa pertama itu dijangka dikeluarkan sama ada pada Selasa atau Rabu.

"Pada masa ini, kita belum dapat umumkan jumlah sebenar kerana ia masih lagi dalam proses-proses tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Masalah pertukaran guru adalah antara isu hangat yang dibangkitkan oleh para perwakilan dalam perbahasan mengenai usul agama dan pendidikan perhimpunan itu, di sini hari ini.

Para pembahas berkata ketidaktentuan mengenai permohonan guru-guru yang memohon mengikut pasangan masing-masing, menimbulkan keresahan dalam kalangan guru terbabit dan keluarga, serta menjejaskan sokongan mereka terhadap kerajaan.

Sehubungan itu, Mahdzir berkata Kementerian Pendidikan sentiasa mengambil berat soal berkenaan, dan akan memberi keutamaan kepada permohonan yang dibuat atas alasan kesihatan serta membabitkan keluarga mereka.

"Kita akan lihat keutamaan jika suami atau isteri ataupun anak mereka yang sakit dan memerlukan mereka bertukar segera," katanya.

Mengulas beban tugas guru terutama untuk memasukkan data mengenai pelajar dalam internet hingga terpaksa berjaga malam, Mahdzir berkata Bahagian Dasar kementerian itu akan diarahkan membuat kajian mengenai masalah tersebut.

Mereka akan diarahkan mengkaji jumlah data yang telah dilakukan oleh guru di setiap sekolah mengikut harian, mingguan dan bulanan, katanya.

Selain itu, katanya kementerian juga akan melihat faktor kewangan untuk mewujudkan pembantu guru seperti projek perintis yang dilaksanakan di Kedah dan Melaka sebelum ini.

Menyentuh isu sekolah yang memerlukan lebih banyak bilik darjah, bilik guru serta rumah guru, Mahdzir berkata pihaknya bercadang membina bangunan melalui konsep mudah dan cepat.

"Mungkin kita gunakan bahan tidak begitu mahal tetapi cepat kita bina bagi menyelesaikan masalah-masalah dibangkitkan itu," katanya.

-- BERNAMA
Fasa Pertama Guru Bertukar Selesai Minggu Depan - Mahdzir Fasa Pertama Guru Bertukar Selesai Minggu Depan - Mahdzir Reviewed by Unknown on December 13, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.