Seo Services

Mayat tanpa kepala disyaki mendiang Bernard Then dijumpai

Kementerian Luar memaklumkan bahawa pasukan keselamatan Filipina telah menjumpai mayat tanpa kepala yang dipercayai mendiang Bernard Then Ted Fen.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata tubuh tersebut telah dibawa ke Zamboanga City malam semalam bagi menjalani proses mengenalpasti menerusi ujian DNA.

“Saya mewakili kementerian luar ucapkan takziah dan maklumat terkini yang kita terima, pasukan keselamatan Filipina telah menjumpai satu mayat tanpa kepala disyaki merupakan mendiang Bernard dan jasad tersebut telah dibawa ke Zamboaga City malam tadi untuk mengenalpasti bagi tujuan ‘DNA matching’,” katanya kepada Dewan Negara ketika menggulung Bajet 2016 bagi Kementeriannya.

Bernard Then yang berasal dari Sarawak diculik kumpulan militan Abu Sayyaf bersama pengurus restoran, Thien Nyuk Fun di restoran Ocean King Seafood, Sandakan 15 Mei lalu.

Kepala Then dipercayai dipenggal kumpulan itu kira-kira jam 4 petang pada 18 November lalu di kepulauan Jolo selepas kawasan persembunyian mereka diserbu oleh pihak berkuasa Filipina.

Manakala Thien terselamat selepas dibebaskan pada 8 November 2015 kerana menghidap penyakit kencing manis.

Sementara itu ketika mengulas lanjut perkara berkenaan, Reezal berkata kerajaan kini telah menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertanggungjawab menyelaraskan isu-isu keselamatan negara di pantai Timur Sabah.

Selain itu, kerjasama Malaysia dan Filipina dari segi keselamatan di antara dua buah negara amat baik dalam membuat pertukaran maklumat, mengetatkan rondaan dan pemantauan maritim di dua buah negara.

“Dalam hal ini kerajaan tidak akan memandang ringan isu penculikan dan kerajaan akan sentiasa ambil tindakan sewajarnya, selain itu, kerajaan akan menggunakan pentas multi-lateral bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu yang membabitkan pencerobohan.

“Di peringkat Asean bagi menangani jenayah rentas, baru-baru ini 1 oktober 2015, menteri-menteri yang bertanggungjawab dengan jenayah rentas negara asean telah bersetuju dengan deklarasi untuk mennangani jenayah rentas sempadan,” ujarnya.

Antara yang terkandung dalam deklarasi tersebut, meningkatkan kapasiti sistem keadilan jenayah di kalangan pendakwaraya dan penguatkuasaan undang-undang.- BNBBC
Mayat tanpa kepala disyaki mendiang Bernard Then dijumpai Mayat tanpa kepala disyaki mendiang Bernard Then dijumpai Reviewed by Admin on December 15, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.