Seo Services

PM Lancar Buku #Ini Cerita Saya

NAJIB TUN RAZAK beramah mesra dengan pemegang biasiswa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) ketika melancarkan buku berjudul #Ini Cerita Saya di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Mustapa Mohamed (tiga dari kiri) dan Idris Jusoh (belakang, tengah). . UTUSAN/HALIM KHALID

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan buku berjudul #Ini Cerita Saya yang menghimpunkan kisah kejayaan sebanyak 30 pemegang biasiswa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) di Bangunan Parlimen hari ini.

Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra dengan 17 pemegang biasiswa Yayasan Peneraju yang hadir dan mendengar sendiri kisah kejayaan enam individu yang dipaparkan dalam buku tersebut.

Enam pemegang biasiswa Yayasan Peneraju itu ialah Faiz Alian Mohd. Zamre, 15; Allister Tik Tony, 15; Nuraini Gastan, 20; Nur Atikah Paimin, 29; Siga Adau, 19 dan Shafiq Ab. Majid, 26.

Mereka merupakan sebahagian daripada kira-kira 4,000 penerima biasiswa bagi Gelombang 1 mulai 2012 sehingga tahun lalu di bawah tiga program teras Yayasan Peneraju iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Yaya­san Peneraju.

Yang turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Raja Azura Raja Mahayuddin.

Kecemerlangan Faiz Alian yang mengalami kecacatan pada tangan kirinya sejak lahir adalah antara kisah yang mendapat tumpuan dalam buku berkenaan.

Walaupun dilanda pelbagai ujian yang getir, pelajar tingkatan tiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumboh, Kelantan itu cemerlang dalam akademik dan kokurikulum malah dia menerima anugerah ‘Penghormatan Pengetua’ dalam setiap peperiksaan.

Rumah yang didiami Faiz Alian bersama ibu serta tujuh adiknya di Kota Bharu musnah dalam kebakaran pada Julai lalu dan melalui ihsan pelbagai pihak, mereka sekeluarga telah menerima bantuan sebuah rumah baharu.

“Alhamdulillah, Yayasan Peneraju banyak membantu meringankan beban kewangan ibu yang membesarkan kami dengan bekerja sebagai pembantu restoran,” jelas peserta program Peneraju Tunas Geliga itu.

Sementara itu, Siga yang berasal dari Belaga, Sarawak sanggup menolak tawaran melanjutkan pengajian dalam jurusan Diploma Kimia Perindustrian daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) semata-mata untuk mengejar impian sebagai jurutera pesawat berlesen.

Dia kini menjalani latihan dalam industri di Malaysia Airlines (MAS) melalui program Peneraju Profesional yang dijangka berakhir pada Julai 2019.

“Demi masa depan yang lebih cerah, saya tidak akan mensia-siakan peluang ini dan berharap tempoh lima tahun yang diberikan berjalan lancar agar saya dapat mencapai impian,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelajar tingkatan tiga MRSM Pontian, Johor, Muhammad Najmi Zakaria, 15, ber­azam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi membalas jasa ibu dan ba­panya.

“Melihat pengorbanan ibu dan ayah mencari nafkah untuk keluarga, saya bersyukur apabila me­nerima biasiswa yang dapat meri­ngankan beban mereka,” katanya. -UTUSAN

PM Lancar Buku #Ini Cerita Saya PM Lancar Buku #Ini Cerita Saya Reviewed by Unknown on December 02, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.