KUALA LUMPUR: Budaya dan aktiviti keusahawanan luar bandar perlu diperhebatkan khususnya melibatkan belia atau generasi muda untuk memastikan luar bandar dapat dimajukan dengan berkesan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejarah telah membuktikan aktiviti keusahawanan menjadi antara aktiviti utama yang diamalkan oleh sesuatu kumpulan atau bangsa yang berjaya.
“Oleh itu saya memberi fokus utama dalam aspek keusahawanan di luar bandar,” katanya ketika merasmikan Kongres Pemerkasaan Luar Bandar 2015, di sini hari ini.
Yang turut hadir timbalannya, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd. Ariff Abdul Rahman.
Ismail Sabri menambah, oleh sebab itulah usaha memajukan sektor keusahawanan di kampung adalah kunci kejayaan utama masyarakat dan kampung maju di negara ini.
“Bagi merancakkan gerak gempur pembangunan keusahawanan di kampung, penglibatan lebih ramai ejen transformasi amat diperlukan,” katanya
Beliau menambah, tanggungjawab itu tidak boleh diletakkan kepada pengerusi JKKK sahaja tetapi pelbagai entiti yang ada seperti persatuan, pihak swasta dan pesara kerajaan yang digalakkan turun ke desa.
Kataya, pihak kerajaan pula perlu memainkan peranan yang penting sebagai pemangkin secara berterusan bagi memberi sokongan dan meningkatkan kualiti kemudahan asas dan infrastruktur bagi mewujudkan suasana kondusif dan mesra keusahawanan sebagai pemangkin pelbagai aktiviti yang bersesuaian dapat diilhamkan.
Selaras dengan tema kongres, Membongkar Potensi Luar Bandar, Ismail Sabri mengajak peserta kongres membongkas sehabis mungkin apa juga pontensi yang ada di luar bandar supaya ia dapat dibangunkan dan dimanfaatkan untuk memaju dan mensejahterakan masyarakat desa.
Jelas beliau, usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar yang lain, antaranya dengan mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menggalakkan aktiviti ekonomi tambahan menerusi penerokaan sumber baru, sub sektor pertanian dan industri hiliran.
Beliau berkata, pembangunan belia luar bandar pula tidak disishkan memandangkan 3.57 juta daripada 8 juta penduduk luar bandar terdiri daripada golongan belia.
“Oleh itu, fokus kepada pembangunan belia luar bandar perlu diberi keutamaan bukan sahaja dalam aspek sahsiah dan jati diri malahan aspek pendidikan, latihan kemahiran dan keupayaan keusahawanan supaya mereka bukan lagi setakat mencari kerja malahan berkeupayaan menjalankan perniagaan sendiri dan mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain.
“Belia juga diharapkan mampu menjadi penggerak pembangunan dan kemajuan di kawasan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, resolusi yang tercetus daripada idea transformasi dan inovatif yang diperoleh daripada kongres itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Perhimpunan JKKK/JKKP di PWTC di sini Khamis ini.-UTUSAN
Budaya Keusahawanan Luar Bandar Diperhebat
Reviewed by Unknown
on
December 02, 2015
Rating:

No comments: