KUALA LUMPUR - Sarawak Hidro Sdn Bhd (Sarawak Hidro) hari ini menafikan khabar angin kononnya terdapat kebocoran di Empangan Bakun, Sarawak seperti yang tersebar melalui sistem pesanan ringkas SMS dan aplikasi WhatsApp.
"Pihak kami sentiasa memantau bacaan terkini empangan dan setakat ini ia tidak menunjukkan wujudnya sebarang aktiviti luar jangka, seperti kebocoran yang boleh menjejaskan keutuhan empangan tersebut," menurut syarikat itu dalam kenyataan di sini semalam.
Sarawak Hidro memberi jaminan bahawa Empangan Bakun masih utuh dan khabar angin tersebut adalah tidak benar, katanya mengulas khabar angin yang disebarkan mempersoalkan keutuhan empangan, dan ia telah menimbulkan kebimbangkan penduduk di kawasan berhampiran.
Menurut syarikat itu, bacaan paras air terkini adalah 227.47m dan pihaknya akan melepaskan air melalui alur limpah empangan sekiranya paras air mencecah paras maksimum 228.0m kepada 226.5m.
Empangan Bakun merupakan empangan konkrit kedua terbesar di dunia dengan kos pembinaan melebihi RM7 bilion terletak di Sungai Balui di hulu lembagan Sungai Rejang, 37km dari Belaga, Sarawak, berkapasiti 2,400MW bekalan elektrik.
Tenaga elektrik Bakun itu dibekalkan kepada industri berintensifkan tenaga seperti loji peleburan aluminium dan manganese yang dibangunkan di Taman Perindustrian Samalaju di Sarawak dan pengeksportan 1,600 megawatt arus elektrik ke Semenanjung. - Bernama
Sarawak Hidro Nafi Empangan Bakun Bocor
Reviewed by Unknown
on
December 02, 2015
Rating:

No comments: