![]() |
Allahyarhamah Seniwati Mariani - Gambar Fail Bernama bertarikh 11 Feb 2015 |
KUALA LUMPUR: Seniwati Mariani atau Mariam Ismail, 82, meninggal dunia akibat kanser usus di kediamannya di Taman Kosmo Jaya, Sentul di sini, malam ini.
Anak bongsunya, pelakon Melissa Mohd Alias atau Melissa Saila, 43, berkata ibunya yang menderita kanser usus sejak setahun lalu, menghembuskan nafas terakhir pada 7.32 malam, setelah tidak sedarkan diri selama beberapa jam.
"Pagi tadi Mummy tidak bangun, macam dia koma sekejap tetapi kemudian dia sedar, ketika itu lebih kurang pukul 6 pagi. Apabila dia sedar saya tengok ada air mata meleleh di pipinya dan saya ambil tisu dan lap.
Anak Allahyarhamah Seniwati Mariani atau Mariam Ismail, Melissa Saila (kiri) ditenangkan rakan-rakan
"Dua hari lepas, dia masih lagi boleh bercakap dengan saya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Melissa yang berada di samping ibunya hingga ke saat akhir, berkata ibunya juga sempat bertemu dengan beberapa orang anaknya yang tiba dari Singapura pagi tadi.
"Meskipun sakit, Mummy tetap kuat dan tidak menunjukkan yang dia sedang sakit. Malah, kalau tidak silap dua bulan lepas dia ada buat satu penggambaran, seharian Mummy keluar dan dia nampak gembira," katanya.
Melissa berkata jenazah ibunya akan disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Sentul di sini esok pada 9 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang sebelum Zohor.
Sementara itu, anak ketiga Allahyarhamah, Siti Haslinda Abdul Hamid atau dikenali sebagai Shasha, 63, berkata ibunya tetap tabah meskipun tahu hayatnya tidak panjang, malah sentiasa ceria dan tidak mahu menyusahkan anak-anak yang lain.
"Saya puas hati dapat bersamanya hingga akhir hayat dan peluang menjaganya adalah satu peluang terbaik dalam hidup saya," katanya.
Mariani, kakak kepada biduanita negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan merupakan pelakon veteran seangkatan dengan seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, mula berlakon sejak 1952 dalam filem pertamanya "Chemburu" di bawah arahan S. Ramanathan.
Selepas berjaya membawakan watak dengan berkesan dalam filem tersebut, beliau kemudian ditawarkan berlakon dalam pelbagai filem termasuk Istana Impian, Labu Labi, Nasib Labu-Labi dan Tiga Abdul.
Mariani yang telah berlakon lebih 30 filem, dianugerahkan "Pencapaian Sepanjang Hayat" pada Festival Filem Malaysia 2013 atas sumbangannya dalam dunia lakonan tanah air.
Allahyarhamah yang pernah berkahwin sebanyak tiga kali, dikurniakan 13 orang anak.
Sementara itu, pelakon Sabri Yunos berkata Mariani merupakan seorang yang tegas dan sentiasa komited dalam melaksanakan tugasnya dan pemergiannya adalah satu kehilangan buat industri filem negara.
"Secara peribadi, dia seorang yang baik dan berdedikasi. Dia memang bersemangat dalam melakukan kerja, kalau ada perkara yang dia tidak suka dia akan cakap, ini sikap dia yang saya tidak boleh lupakan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Sabri berkata beliau mengenali Allahyarhamah sejak tahun 80-an dan pernah bekerja bersama.
"Memang mula-mula segan sebab dia orang lama. Saya banyak bertanya mengenai soal lakonan. Drama terakhir kami bersama ialah yang disiarkan setiap Jumaat di Radio Televisyen Malaysia iaitu Semerah Padi, itu 'last' saya jumpa dia," katanya.
Antara yang kelihatan menziarah Mariani ialah Norliah Ghani, Dian P.Ramlee, Aziz M. Osman dan Amran A.R Tompel.
Amran berkata berkata Allahyarhamah seorang yang baik dan merupakan contoh buat artis baharu.
"Secara peribadi saya jarang berjumpa dengannya tetapi dia memang baik, ia satu kehilangan besar buat industri kita," katanya.
-- BERNAMA
Seniwati Mariani Meninggal Dunia Akibat Kanser Usus
Reviewed by Unknown
on
December 02, 2015
Rating:

No comments: