Seo Services

Bantu PRN Sarawak, Keselamatan Sabah Tidak Terjejas

Foto: Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Keselamatan khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) tidak akan terjejas walaupun sejumlah anggota dari negeri ini akan dihantar bertugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, berkata pihaknya sedia memberikan bantuan untuk memastikan proses PRN Sarawak berjalan lancar, namun bergantung kepada jumlah anggota yang diperlukan.

"Kita perlu saling membantu dan akan berbincang dengan Polis Sarawak berapa jumlah (anggota) yang diperlukan serta berapa ramai yang kita boleh hantar.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna ia akan menjejaskan tugasan di Sabah, ia tidaklah sampai tiada rondaan (keselamatan), bot tersadai, siasatan ditangguhkan dan lain-lain," katanya selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra. Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya memerlukan bantuan daripada Polis Sabah dan Semenanjung kerana tidak mahu mengganggu tugas anggota di balai dan pondok polis di Sarawak.

Anggota bantuan dari luar itu akan mengawasi proses PRN kerana Sarawak mempunyai 2,700 saluran pilihan raya dengan setiap satunya memerlukan pengawasan sekurang-kurangnya seorang anggota.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rashid meminta semua ketua polis daerah (KPD) supaya mengadakan latihan dalam perkhidmatan di IPD masing-masing. Katanya, KPD tidak perlu menunggu sesuatu kursus untuk diadakan kerana mereka juga mampu melaksanakannya sendiri.

"Ramai dalam kalangan pegawai yang berkebolehan mengendalikan latihan dalam perkhidmatan, malah jika perlu, saya sendiri akan turun membantu," katanya. - BH

Bantu PRN Sarawak, Keselamatan Sabah Tidak Terjejas Bantu PRN Sarawak, Keselamatan Sabah Tidak Terjejas Reviewed by uMieySurianie on January 22, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.