KUALA LUMPUR : Bank Simpanan Nasional (BSN) berkata langkah mengetatkan peraturan terhadap pinjaman dan kredit baharu yang ditawarkan kepada pekerja sektor minyak dan gas adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga.
Bank komuniti itu berkata, ia adalah sebahagian prosedur standardnya untuk mengkaji semula secara konsisten perkembangan dalam sektor kewangan dan ekonomi yang boleh memberi kesan ke atas perniagaan bank berkenaan.
Ia termasuk mengambil kira industri berdepan cabaran, seperti keadaan yang dialami oleh industri minyak dan gas pada masa ini.
"Cadangan mengetatkan kelulusan pinjaman dan kredit adalah langkah sementara sejajar dengan jangkaan umum untuk pengurusan risiko yang berhemat.
"Sebagai institusi kewangan pembangunan yang memberi tumpuan kepada membantu pelanggan kami mencapai kehidupan yang lebih baik, adalah menjadi niat kami untuk bekerja dengan rakyat Malaysia bagi membantu mengekalkan kedudukan kewangan mereka sejajar dengan dasar pemberian pinjaman yang bertanggungjawab kami," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengikut BSN, apa yang lebih penting lagi adalah ia kekal fokus dalam memelihara kesejahteraan penyimpan, pelanggan dan pihak yang berkepentingan.
Justeru, bank itu akan mengkaji semula semua dasar pengeluaran pinjaman dan kredit secara berterusan bagi semua sektor berdasarkan pembangunan pasaran.
Langkah itu, jelasnya, tetap menjadi amalan piawai untuk BSN.
"Semua pinjaman masih akan tertakluk kepada penilaian kemampuan yang diperlukan sebagai sebahagian daripada dasar pinjaman yang bertanggungjawab kerana kami terus menyokong pembiayaan runcit kepada semua sektor lain," katanya. - BH
BSN Ketatkan Pinjaman Kepada Sektor Minyak Dan Gas
Reviewed by Unknown
on
January 22, 2016
Rating:

No comments: