![]() |
GAMBAR HIASAN |
BELAGA: Seorang wanita maut manakala suaminya parah apabila kereta yang mereka naiki merempuh lori sampah yang rosak di Jalan Sungai Asap, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 8.15 malam itu, mangsa Anat Epoi, 40, maut di tempat kejadian manakala suaminya Sigar Iban, 50, parah kepala dan badan. Ketika kejadian, lori sampah berkenaan ditinggalkan di tepi jalan itu kerana mengalami kerosakan.
Kedua-dua mangsa dari Uma Badeng, Sungai Asap, yang menaiki kereta Perodua Kancil dari arah Bintulu ke Belaga dikatakan cuba memotong lori berkenaan namun pada masa yang sama sebuah kenderaan datang dari arah bertentangan.
Sigar kemudian cuba mengelak bertembung dengan kenderaan itu namun tidak sempat mengelak lori sampah yang diletakkan di tepi jalan itu lalu merempuhnya.
Ketua Polis Daerah Belaga, Deputi Superintendan Melay Tingom, berkata kawasan kemalangan itu gelap dan pemandu lori sampah terbabit pula tidak memasang tanda amaran ketika meninggalkan kenderaannya yang rosak di tepi jalan berkenaan.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bintulu manakala suaminya yang parah dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
"Polis masih mengesan pemandu lori itu dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu juga diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya. - BH
Isteri Maut, Suami Parah Kereta Rempuh Lori Sampah
Reviewed by uMieySurianie
on
January 21, 2016
Rating:

No comments: