Seo Services

Mufti Perlis Dilabel Mulut ‘Celupar’

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainal Abidin disifatkan individu yang tidak beradab serta tidak senonoh dalam membuat kritikan terhadap orang lain.

Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin Al Ghari, berkata pihaknya tidak pernah mempengaruhi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi menghalangnya berceramah di Johor bersama 15 penceramah lain.

Katanya, tuduhan dibuat Asri tidak berasas dan bersifat melulu kerana MAIJ merupakan pihak berkuasa agama yang berstruktur, telus serta bebas membuat keputusan secara eksklusif tanpa memerlukan campur tangan pihak luar.

“Saya pula tidak pernah berusaha untuk meracuni sesiapa pun dalam soal larangan berceramah. Tuduhan yang dibuat oleh Mufti Perlis juga dilihat tidak beradab dan tidak senonoh dengan statusnya sebagai seorang Mufti negeri.

“Beliau sepatutnya menyelidik dahulu fakta berkaitan, mendapatkan sumber yang sahih serta menganalisis isu berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Sayangnya, beliau terlalu gopoh dan sering menyerang peribadi seseorang yang tidak sehaluan dengan pemikiran Salafi – Liberalnya,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Tidak cukup dengan bidasan itu, Zamihan turut membuat pendedahan bahawa beliau telah lama dijadikan sasaran serangan Mufti Perlis itu apabila dirinya dituduh pro Syiah susulan sering kali kali membuat kritikan terhadap aliran Wahabi menerusi tulisan buku ‘Salafiah Wahabiah Satu Penilaian’.

“Tohmahan dan umpatannya terhadap saya tak pernah berhenti daripada lidahnya walaupun dua kali bergelar Mufti sehinggalah kes ini diheret ke mahkamah dan dapat diselesaikan cara baik.

“Namun, Mufti bermulut celupar ini tidak pernah insaf. Sebaliknya sering merasakan dirinya ‘terlajak pandai’ bahkan sentiasa egois dalam sesuatu perkara. Saya terus dituduh sebagai pro Syiah, ahbash dan pelampau takfir (mengkafirkan orang) apabila membicarakan isu-isu semasa akidah, pemikiran dan isu keselamatan, terutamanya berkaitan dengan ancaman kumpulan militan Islamic State (IS),” katanya.

Sehubungan itu, beliau sedia untuk dicabar berdebat dengan Asri dipentas terbuka, malah menyuarakan rasa tidak gentarnya untuk berhujah dengan Mufti Perlis itu, sekali gus mendesak supaya dirinya tidak lagi difitnah. - Free Malaysia Today
Mufti Perlis Dilabel Mulut ‘Celupar’ Mufti Perlis Dilabel Mulut ‘Celupar’ Reviewed by Admin on February 04, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.