KUCHING: Kepayahan dialami mangsa banjir di Sarawak, terus mendapat perhatian dan simpati daripada masyarakat.
Atas dasar tanggungjawab, sebuah radio swasta mengambil inisiatif membuka pusat untuk mengumpul barangan yang ingin disumbangkan kepada mangsa banjir terbabit.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim berkata selaku sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, pihaknya diminta untuk menyelaras agihan sumbangan itu.
"Antara sumbangan diterima ialah pakaian, beras, makanan dalam tin, makanan segera, air minuman serta keperluan asas harian dan membersih rumah," katanya kepada Bernama Rabu.
Tinjauan Bernama di Pusat Latihan JPAM di Jalan Diplomatik, mendapati kira-kira 30 anggota jabatan berkenaan sedang menguruskan sumbangan yang diterima itu.
Mengenai kaedah pengagihan sumbangan itu, Siti Huzaimah berkata anggotanya akan menyelesaikan kiraan semua sumbangan tersebut malam ini.
"JPAM kemudian akan maklumkan kepada radio swasta berkenaan selaku penganjur kutipan...kita beri pandangan dan lihat macam mana mereka mahu agihkan sumbangan ini," katanya.
Banjir yang melanda Sarawak menjejaskan mangsa di daerah Kuching, Serian dan Samarahan.
Siti Huzaimah berkata 68 pusat pemindahan dibuka secara berperingkat sejak 20 Feb lepas, dan pusat pemindahan terakhir di Balai Raya Kampung Slabi Entungkuh di Serian telah ditutup, selepas 21 mangsa daripada lima keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pagi ini.
-- BERNAMA
Lebih 13 Tan Sumbangan Kepada Mangsa Banjir Diterima - JPAM Sarawak
Reviewed by Unknown
on
March 02, 2016
Rating:

No comments: