“Ooohaaaa..”, “ you oh you”, “Kamek Urang Sarawak Sik Suka TOL sebab mun ditambah OL alu jadi TOLOL". Inilah antara kata-kata penuh jenaka yang sinonim dengan seorang anak Sarawak yang kewibawaannya disegani oleh kawan mahupun lawan.
Hanya mahu dikenali sebagai Tok Nan ataupun CM Nan di kalangan rakyat Sarawak, beliau seorang yang mudah dan tidak menyukai protokol yang panjang di dalam menyebut namanya. Individu yang dimaksudkan ini adalah Ketua Menteri Sarawak yang ke lima, Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Satem.
Mungkin tanpa kita ketahui disebalik sejarah pemimpin-pemimpin No. 1 di Sarawak ini, Tok Nan merupakan satu-satunya anak jati berketurunan Melayu Sarawak yang pertama memegang tampuk kepimpinan jawatan No. 1 di Sarawak.
Walaupun usia kepimpinannya menerajui Sarawak hanya bermula pada tanggal 28hb Februari 2014 namun begitu kelantangannya dan ketegasan beliau dalam memastikan hak-hak rakyat Sarawak tanpa mengira kaum baik di bandar mahupun luar bandar menjadikan beliau dikagumi dan disayangi oleh segenap lapisan masyarakat Sarawak hari ini.
Di sebalik ada suara-suara sumbang yang cuba mewarnai visi dan misi beliau, Tok Nan tidak pernah mengambil pusing akan cakap-cakap ini. Sebaliknya, beliau hanya mahu terus maju kehadapan sehingga membolehkan beliau dikenali sebagai “CM UNTUK SEMUA”.
Menyelusuri zaman kanak-kanak dan dunia remaja beliau, beliau dilahirkan pada 27hb Januari 1944 di Kuching, Sarawak iaitu pada ketika berlangsungnya Perang Dunia Ke-2. Pastinya kita cukup tahu betapa payahnya penghidupan semasa pendudukan Jepun dan begitu jugalah beliau yang dibesarkan di dalam serba kepayahan pada waktu itu.
Ini kerana keluarganya bukanlah orang berada, hanya orang kampung yang biasa-biasa sahaja. Seperti anak-anak Melayu yang lain di Sarawak, Tok Nan juga melayari zaman kanak-kanaknya dengan penuh bahagia.
Tiada yang berbeza di dalam penghidupan beliau apabila beliau juga harus pergi mengaji di surau yang berdekatan dengan rumahnya kerana itulah matapelajaran asas yang harus dikenali oleh seorang yang beragama Islam. Apabila cukup umur untuk memasuki alam persekolahan, TokNan telah dihantar untuk belajar di sebuah sekolah yang terkenal yang sentiasa melahirkan barisan pemimpin di Sarawak iaitu di St Joseph School, Kuching.
Di sekolah inilah, beliau menimba ilmu dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat menengah. Zaman remaja TokNan juga diwarnai dengan perjalanan hidup yang menyeronokkan. Seperti anak remaja yang lain yang gemar kepada bidang muzik dan sebagainya, TokNan juga tidak terlepas daripada merasai alam ‘band boy’.
Siapa pernah tahu bahawa sekitar tahun 1960an dahulu di Kuching, pernah terkenal sebuah kugiran yang bernama Vagabond yang sering mengadakan konsert selepas persembahan bangsawan di sekitar kampung-kampung di Kuching. Kumpulan inilah yang dianggotai oleh Tok Nan yang kini menjadi Ketua Menteri Sarawak sekarang. Di dalam kugiran inilah tempat TokNan mengasah bakatnya menjadi seorang penyanyi utama dan pemuzik.
Memasuki usia dewasa, beliau memulakan alam pekerjaannya selepas sahaja tamat sekolah menengah, beliau memilih jawatan sebagai seorang guru. Mungkin kerana itulah sistem pendidikan begitu dekat dihatinya kerana beliau dahulu mantan seorang guru. Selepas itu, beliau pernah menjadi seorang wartawan dan penulisan beliau juga dikatakan bentuk penulisan yang lantang dan tajam.
Mungkin atas faktor inilah, beliau kini dikenali sebagai antara pemimpin yang bersuara lantang di dalam segenap ceramahnya. “Tuntutlah Ilmu Itu Walau Sampai Ke Negara China” itulah bidalan lama orang tua kita di dalam memperkatakan betapa ilmu itu penting di dalam penghidupan.
Begitulah juga pada TokNan walau sudah mempunyai pekerjaan yang stabil tetapi naluri untuk menuntut ilmu sehingga ke menara gading telah memungkinkan beliau melanjutkan pelajaran di dalam pengajian Undang-undang di University of Adelaide.
Berkat kegigihan beliau akhirnya beliau berjaya menggenggam segulung ijazah bidang perundangan. “Jauh Perjalanan Maka Luaslah Pandangan” itulah polisi yang disemat di sanubari beliau setelah menamatkan pengajiannya di Australia. Beliau tidak pulang ke tanahair buat sementara sebaliknya beliau menimba pengalaman untuk bekerja di luar negara.
Sekitar tahun 1969, beliau menjawat jawatan sebagai Peguam di Pejabat Pendakwaraya Adelaide Australia. Dan atas kegigihan beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Majistret di Negara orang. Ini adalah secebis kisah awal Tok Nan sebelum beliau menceburi bidang politik di tanah kelahiran beliau.
Benar bak kata orang tua-tua, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri akhirnya sekitar tahun 1970an, Tok Nan kembali ke tanahair. Pada ketika itu beliau terus ditawarkan sebagai Peguam di Mahkamah Tinggi Borneo iaitu sekitar tahun 1975. Siapa menyangka, pada masa yang sama beliau mula berjinak-jinak dengan dunia politik.
Dari hanya dilantik sebagai Penasihat Undang-undang dan ahli Jawatankuasa Penasihat Parti Bumiputera Bersatu Sarawak kemudian akhirnya beliau berjaya menjadi Yang Berhormat untuk DUN Muara Tuang.
Sejak itu beliau terus melangkah dan melangkah di dalam kancah arena politik Sarawak sehinggalah pada tahun 2004 beliau memenangi Parlimen Batang Sadong dan akhirnya beliau terpilih sebagai salah seorang Menteri Kabinet Malaysia dengan memegang portfolio sebagai Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Malaysia.
Sekitar tahun 2006 setelah berlakunya rombakan kecil pada Kabinet Malaysia, beliau sendiri telah memohon daripada Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, untuk tidak menamakannya semula di dalam mana-mana portfolio kementerian.

Semuanya kerana beliau lebih memilih untuk berkhidmat di Sarawak iaitu dekat dengan rakyat lebih-lebih lagi di kawasan yang beliau wakili iaitu Parlimen Batang Sadong. Pada tahun 2011, beliau telah memenangi DUN Tanjung Datu sehinggalah sekarang.
Sebagai rujukan, antara jawatan Menteri yang beliau pernah sandang sejak melibatkan diri di dalam arena politik Sarawak adalah Menteri Muda di Kementerian Pembangunan Tanah Sarawak (1985-1987), Menteri di Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan Sarawak (1988), Menteri di Kementerian Pembangunan Dan Sosial Sarawak (1992) dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas (2011-2014).
Usia pentadbiran selaku Ketua Menteri Sarawak baru sahaja setahun jagung namun begitu jangan memandang sepi kebolehan beliau. Ini kerana, banyak hal yang telah dirungkai oleh beliau di dalam menjadikan Sarawak itu sebuah negeri yang lebih baik. Antaranya adalah:
1. Tiada lagi pengeluaran lesen balak di Sarawak dan tiada lagi pembukaan ladang kelapa sawit kerana hutan di Sarawak harus dipelihara.
2. Usaha yang lebih aktif untuk memastikan tanah adat yang menjadi hak kepada kaum pribumi Sarawak disukat dan mendapat dokumen yang sah.
3. Tarif elektrik industri dan awam diturunkan.
4. Mendaulatkan keutuhan integriti di kalangan ahli politik dan juga penjawat awam. Setiap ahli politik mempunyai pengistiharan integriti.
5. Memerangi habis-habisan kesemua pembalak-pembalak haram dan juga mana-mana kilang yang bersekongkol dengan mereka.
6. Memperjuangkan pembangunan luar Bandar agar mereka terus berdaya saing.
7. Memastikan tiada lagi bangsa “lain-lain” di dalam borang rasmi untuk kaum yang bukan Melayu, Cina, India sebaliknya diletakkan “Dayak”.
8. Memperjuangkan hak autonomi seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 seperti dasar pendidikan dan sebagainya dikembalikan kepada Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan.
9. Tiada isu mana-mana kaum dikatakan sebagai “kaum pendatang” kerana bumi Sarawak ini luas untuk semua.
10. Memperjuangkan royalti minyak untuk Sarawak kepada 20% dan perundingan terus berlangsung sehingga sekarang.
Sebenarnya ada banyak lagi yang telah dilakukan oleh beliau dan masih banyak lagi yang beliau sedang usahakan. Ini sejajar dengan pantun yang sering beliau laungkan apabila mengakhiri ceramah-ceramahnya yang menunjukkan beliau tidak akan mudah berputus asa.
Di dalam menyelusuri penghidupan berumahtangga, beliau juga pernah merasai jatuh bangun dilanda badai perkahwinan. Perkahwinan pertama beliau juga patah ditengah jalan. Namun berpegang kepada "patah tumbuh hilang berganti," akhirnya sekali lagi TokNan mengahwini suri hatinya iaitu Puan Sri Datin Patinggi Jamilah Anu.
Pada mata beliau, Puan Seri adalah seorang wanita Melayu idaman hati beliau yang diceritakan amat pandai bermasak dan menguruskan keluarga. Seorang wanita yang bersifat sederhana tetapi beliaulah yang menjadi tulang belakang jatuh bangun suaminya. Seringkali beliau berseloroh dengan rakan taulan. “Aku dah madah bini aku pandei masak”

Inilah antara kata-kata beliau mengenai sifat isterinya yang dicintai. Sesuatu yang mungkin ramai rakyat Malaysia tidak tahu, sifat rendah diri beliau ini adalah beliau tidak seperti mana-mana “orang besar” yang kita ketahui sekarang. Sudah menjadi kebiasaan kepada beliau bersama isterinya untuk hanya menjamu selera di foodcourt mahupun kedai makan biasa.
Malah ada waktunya, jika terluang, mereka akan kelihatan seperti pasangan atuk dan nenek berjalan-jalan di hujung minggu di pasaraya-pasaraya ataupun taman permainan kanak-kanak bersama-sama cucu-cucunya yang disayangi tanpa protokol. Inilah antara sifat rendah diri yang menyebabkan beliau mahupun isterinya dihormati oleh segenap lapisan masyarakat di Sarawak khususnya.
Memang jarang-jarang ada “orang besar” kita yang sedemikian. Kelantangan dan pencapaian beliau setakat ini begitu mengkagumkan kawan mahupun lawan. Memang tidak dapat disangkal bahawa beliau adalah Tokoh Melayu Sarawak Sepanjang Zaman dan beliaulah “CM Untuk Semua” di Sarawak.
Semoga kekal sihat dan sentiasa dibawah lindungan Allah SWT kepada Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem. Teruskan momentum untuk mencapai visi dan misi di dalam memartabatkan hak-hak Sarawak serta menjadikan Sarawak negeri contoh pada masa hadapan.
Siapakah Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak Ke 5
Reviewed by JMK
on
March 04, 2016
Rating:

Allah beri keberkatan umur dan perjuangan yg disokong tanpa batasan oleh rakyat jelata kepada Tok Nan. Amin
ReplyDeleteInn syaAllah, aamiin
Deletetahniah sarawak punya pemimpin ke arah khalifah
ReplyDeleteAku rindu generasi ku yg breada di srawak hanya dngar melalui cerita ayah n ibu
ReplyDeletebut hanya tinggal kisah aje ...moga kamu drahmati ilahi di dsana Amiiiiiiiiin
Mga perjuangan beliau sukses
ReplyDeletemoga ditemapatkan di kalangan orang beriman
ReplyDelete