Seo Services

'Kenapa Sebelah Panjang Sebelah Pendek Kaki Nenek?'


KOTA BHARU : “Bakpo (kenapa) panje (panjang) sebelah, pendek sebelah kaki mok (nenek)?” kata Mek Som Mat Diah, 89, mangsa samun yang putus pergelangan kaki kiri akibat dipotong remaja lelaki, Ahad lalu sebaik menyedari kaki kirinya dipotong selepas menjalani pembedahan, malam kelmarin.

Mek Som yang masih di bawah pengaruh ubat bius kelihatan letih dan kurang ceria seperti sebelum ini dan sesekali meraba-raba pangkal kaki kirinya yang berbalut selepas dipotong hingga paras betis oleh doktor yang merawatnya.

Katanya, dia didatangi doktor yang merawatnya pada malam sebelum dia ditolak masuk ke dewan bedah untuk menjalani pembedahan.

“Selepas itu saya tidak ingat apa-apa lagi dan hanya sedar pagi tadi (semalam) sebelum melihat kaki kiri berbalut dan pendek sebelah.

“Macam mana hendak berjalan bila kaki dipotong dan sudah pasti saya tidak boleh menjaga anak, Mek Esah Abdullah, 60, yang juga orang kurang upaya (OKU) mental,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan raya, katanya, sambutan Aidilfitri kali ini mungkin suram buatnya kerana mungkin masih perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Bagaimanapun, menurutnya, dia gembira tinggal di situ kerana ramai orang datang melihatnya selain doktor serta jururawat yang menjaganya juga peramah dan mesra.

“Mok mungkin sambut hari raya di sini, tapi tidak tahu lagi apa keputusan doktor. Jika dibenarkan pulang, Mok mungkin akan beraya di rumah cucu saudara, Mustafa Yusof, 50, di Kampung Kubang Pandak, Pasir Mas.

“Walaupun kaki tiada, Mok tetap semangat untuk sambut hari raya dan paling penting, Mok mahu baju raya warna biru,” katanya sambil tersenyum.

Mek Som berkata, dia juga tidak mahu pulang ke rumahnya di Kampung Tanjong Rendang, Lemal, Pasir Mas kerana bimbang ‘budak jahat itu’ datang mengganggunya lagi. - HM
'Kenapa Sebelah Panjang Sebelah Pendek Kaki Nenek?' 'Kenapa Sebelah Panjang Sebelah Pendek Kaki Nenek?' Reviewed by Unknown on June 23, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.