Seo Services

PM Punyai Justifikasi Dalam Penyusunan Semula Kabinet


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai justifikasi tersendiri dalam penyusunan semula Kabinet yang diumumkan semalam.

Beliau turut meminta semua pihak tidak melatah dengan keputusan tersebut sebaliknya melihat kepentingan negara terlebih dahulu dengan keputusan yang dibuat itu.

Katanya perdana menteri sendiri sudah memberi makluman kepada beliau mengenai keputusan yang dibuat itu dalam pertemuan antara mereka di Kuala Lumpur hari ini.

"Pagi ini saya kebetulan berada di Kuala Lumpur dan berpeluang berbincang sedikit dengan perdana menteri.

"Saya difahamkan bahawa kali ini perdana menteri hendak mengurangkan sedikit bilangan Jemaah Menteri, dan penyusunan semula Kabinet dibuat untuk memberi laluan kepada negeri Selangor supaya mereka mempunyai seorang wakil Kabinet," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu Abang Johari dan isteri Datin Juma'ani Tun Tuanku Bujang menghadiri Majlis Khatam al-Quran dan Berbuka Puasa bersama kakitangan agensi-agensi Islam Sarawak di Dewan Majlis Islam Sarawak di sini.

Abang Johari yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana walaupun Ahli Parlimen Sarawak tidak dilantik sebagai menteri penuh semalam, tetapi masih melantik timbalan menteri daripada negeri itu.

"Keputusan yang dibuat perdana menteri semalam bukan bermakna beliau tidak mementingkan Sarawak, tetapi keputusan dibuat selepas melihat secara menyeluruh pelbagai perkara. "Saya percaya kita (Sarawak) masih lagi mempunyai suara besar dalam Kabinet Persekutuan.

Kita (Sarawak) harus melihat dari segi keseluruhan kerana kita masih mempunyai enam menteri dalam Kabinet," katanya.

Ditanya bagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri akan menghadapi cubaan pembangkang menggunakan penyusunan semula Kabinet sebagai modal politik, Abang Johari menegaskan Sarawak mempunyai semangat tolak ansur dalam sesuatu perkara.

"Kita orang Sarawak memang orang yang mempunyai semangat tolak ansur kerana mengambil kira kehendak negara keseluruhannya.

"Dari sudut Jemaah Menteri Persekutuan, Sarawak masih banyak (iaitu) enam orang menteri antaranya wakil masyarakat Iban Datuk Joseph Entulu Belaun (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), dan wakil masyarakat Bidayuh Datuk Seri Richard Riot Jaem (Menteri Sumber Manusia).

"Seterusnya Sarawak juga ada menteri-menteri daripada PBB termasuk Anggota Parlimen Lawas Henry Sum Agong berbangsa Lun Bawang yang dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semalam," katanya.

Ketika ditanya pandangan beliau dengan penyusunan semula Kabinet yang diumumkan semalam, Abang Johari berkata beliau melihat perdana menteri cuba memberi pendedahan dan juga pengalaman kepada menteri yang baru dilantik.

"Umpamanya apabila Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menamatkan perkhidmatannya sebagai Menteri Kewangan Kedua, Perdana Menteri mengangkat Datuk Johari Abdul Ghani sebagai menteri penuh.


"Sudah tentu dengan latar belakang sebagai ahli korporat, beliau (Johari) akan dapat membantu Perdana Menteri menggunakan pengalamannya," katanya. - BERNAMA
PM Punyai Justifikasi Dalam Penyusunan Semula Kabinet PM Punyai Justifikasi Dalam Penyusunan Semula Kabinet Reviewed by uMieySurianie on June 29, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.