KUCHING : Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu Jawatankuasa Teknikal penurunan kuasa memulakan rundingan dengan segera bagi mencari pendekatan terbaik mengenai urusan itu.
Beliau dalam kenyataan akhbarnya berkata penubuhan Jawatankuasa Teknikal itu merupakan permulaan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat Sarawak.
“Saya mengalu-alukan pendekatan-pendekatan yang dibuat dan rundingan diadakan dengan segera.
“Ia sudah tentu mengambil masa kerana proses ini rumit dan sudah tertangguh agak lama tetapi ini adalah permulaan (kepada usaha) untuk menunaikan janji-janji kita (kepada rakyat),” tegasnya.
Adenan menambah, penubuhan jawatankuasa itu semasa mesyuarat peringkat tinggi pertama penurunan kuasa pada 13 Jun lalu bermakna kerajaan persekutuan memberi maklum balas kepada permintaan Sarawak mengenai perkara itu.
“Saya mengalu-alukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri mengenai pemerkasaan perlembagaan dan pentadbiran berkaitan permintaan kita kepada kerajaan persekutuan agar mempertimbangkan laporan dan pengesyoran-pengesyoran Suruhanjaya Cobbold.
“Termasuk mempertimbangkan laporan dan pengesyoran-pengesyoran Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGS), Akta Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Nancy dalam satu kenyataan media memaklumkan perkara itu dan memberitahu bahawa jawatankuasa tersebut akan dianggotai wakil dicalonkan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bersama-sama wakil kerajaan persekutuan dan sejarawan daripada dua negeri tersebut.
Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata mesyuarat pada 13 Jun lepas itu dipengerusikan bersama oleh beliau dan menteri persekutuan dari Sabah Datuk Seri Anifah Aman.
Ia dihadiri Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, wakil kerajaan persekutuan, wakil Kerajaan Sabah iaitu setiausaha kerajaan negeri dan peguam besar negeri dan wakil Kerajaan Sarawak iaitu timbalan peguam besar negeri dan pengarah Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri.
Nancy berkata mesyuarat itu juga bersetuju bahawa jawatankuasa teknikal berkenaan akan mengenal pasti isu kegagalan pematuhan dalam konteks Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan dan laporan bertulis atau dokumen lain seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold dan akan menyediakan syor serta penyelesaian untuk pertimbangan kerajaan persekutuan.
“Diharapkan, laporan pertama berdasarkan syor dan penyelesaian itu akan siap untuk dikemukakan kepada kabinet persekutuan menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
“Kini tibalah masanya untuk kami mengemukakan hasrat rakyat Sarawak. Ia bukan lagi sekadar cakap semata-mata, tetapi untuk menunaikan apa yang disuarakan Ketua Menteri kami,” katanya. - UB
Segerakan Rundingan Penurunan Kuasa Kepada Sarawak - Adenan
Reviewed by Unknown
on
June 29, 2016
Rating:
No comments: