Kuala Lumpur : Tiga rakyat Filipina ditahan kerana memperdagangkan 29 wanita senegara di Bintulu, Sarawak baru-baru ini, kata Duta Filipina ke Malaysia, J Eduardo Malaya.
Beliau berkata, semua wanita itu diselamatkan dengan bantuan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari dua bar di Bintulu pada 9 Jun lepas setelah Kedutaan Filipina menerima laporan berhubung rakyatnya diperdagangkan.
"PDRM menyelamatkan semua mangsa dalam serbuan itu, dan menahan tiga warga Filipina yang juga ejen dan penjaga wanita berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada polis Bintulu di atas tindakan pantas mereka, Malaya berkata serbuan itu dapat dilaksanakan menerusi penyelarasan di antara Atase Polis kedutaan, Pablo Labra II dan Pegawai Bantuan Rakyat (ATN) kedutaan, Ariel Esparto serta pihak berkuasa Sarawak.
"Selepas menerima laporan mengenai rakyat Filipina diperdagangkan di kawasan itu, pegawai kedutaan mengunjungi Sarawak dan menyelaraskan tindakan dengan PDRM. Selepas itu, polis Bintulu membuat serbuanb," katanya.
Malaya berkata, siasatan kes itu sedang dijalankan dan semua wanita berkenaan dipindahkan ke Rumah Perlindungan Wanita di Kota Kinabalu, Sabah selepas mahkamah meluluskan permohonannya bagi mendapatkan perlindungan sementara.
Beliau mengingatkan rakyat Filipina supaya mengesahkan kesahihan tawaran pekerjaan dengan Agensi Pekerjaan Luar Negara Filipina (POEA) di Manila atau Pejabat Tenaga Kerja Luar Negara Filipina (POLO) di kedutaan itu sebelum membuat sebarang rancangan perjalanan.
"Mereka perlu berhati-hati dan tidak berurusan dengan individu atau agensi tidak berlesen terutamanya dalam talian kerana mereka akhirnya mungkin diperdagangkan," kata Malaya.
Menurutnya, rakyat Filipina perlu mempunyai visa pekerjaan yang dikeluarkan Kedutaan Malaysia di Manila dan permit kerja yang diluluskan POEA di Manila sebelum boleh memasuki Malaysia untuk bekerja.
"Kami telah menerima laporan mengenai individu dan agensi yang didakwa menawarkan pekerjaan di Malaysia dengan terlebih dahulu memasuki negara ini sebagai pelancong sebelum dijanji menukar visa pelancong kepada visa pekerjaan sebagai pertukaran mendapatkan wang, seperti apa yang berlaku kepada beberapa wanita yang dapat diselamatkan.
"Mengikut undang-undang Imigresen Malaysia, pas lawatan sosial (visa pelancong) tidak boleh ditukar kepada visa pekerjaan," kata Malaya. - Bernama
Tiga Rakyat Filipina Ditahan Perdagangkan 29 Wanita Senegara Di Sarawak - Kedutaan
Reviewed by Unknown
on
June 23, 2016
Rating:
No comments: