Seo Services

Kementerian Pertahanan Laksana Empat Strategi Tangani Militan Daesh


KUALA LUMPUR : Usaha bersepadu untuk membendung penularan militan Daesh akan dilaksana berteraskan empat pendekatan membabitkan pelbagai rangkaian agensi.

Ia merangkumi perangkaan strategi, pembabitan pelbagai pihak, merencana jangkaan dan kepemimpinan atau ringkasannya ‘SEAL’.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata modus operandi militan Daesh sangat berbeza berbanding Taliban, Jemaah Islamiyah (JI) dan Al-Qaeda yang pernah mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Sehubungan itu, katanya, mekanisme untuk membanteras penularan dan penyebaran ideologi Daesh khususnya membabitkan golongan muda, wajar dilaksana menggunakan acuan berbeza.

“Daesh akan merekrut individu di negara yang huru-hara, tidak stabil dan dipenuhi sentimen kebencian kerana ia adalah ‘umpan’ terbaik untuk memesongkan pemahaman mereka.

“Empat strategi ini adalah jalan terbaik untuk semua pihak menggembleng tenaga menangani militan Daesh secara menyeluruh dan bersepadu,” katanya pada ucaptama perasmian Seminar Pengurusan Tentera Pasifik (PAMS) XL di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Pemerintah Tentera Amerika Syarikat di Pasifik, Jeneral Robert B Brown; dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim.

Seminar empat hari hingga Khamis ini yang bertemakan `Perpaduan Usaha: Membina Kerjasama Tentera-Masyarakat untuk Menangani Keganasan Ekstremisme’ itu antara lain membabitkan 30 negara di rantau Asia Pasifik.

Ia merangkumi Amerika Syarikat, Afghanistan, Australia, Bangladesh, Bhutan, Brunei, Kemboja, Kanada, Chile, China, Fiji, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan United Kingdom - BH
Kementerian Pertahanan Laksana Empat Strategi Tangani Militan Daesh Kementerian Pertahanan Laksana Empat Strategi Tangani Militan Daesh Reviewed by Unknown on September 26, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.