![]() |
Foto Osman Adnan |
SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu kisah kontinjen Sukan Paralimpik Rio 2016 dijadikan rangsangan kepada rakyat Malaysia supaya berdiri lebih tinggi dan bangga serta berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh.
Perdana Menteri berkata, atlet Paralimpik sudah membuktikan bahawa walaupun apa juga dugaan pada diri namun jika ada keazaman, iltizam dan kemahuan untuk berjaya, kejayaan mampu dicapai di pentas besar dunia.
Katanya, beliau memutuskan untuk memberi ganjaran kepada atlet paralimpik sama seperti yang diterima atlet olimpik bagi menghargai pencapaian mereka mengharumkan nama negara.
"Saya juga mahu mereka ini dijadikan ikon kepada semua rakyat Malaysia kerana jika mereka yang ada kekurangan diri, kita yang cukup sifatnya juga jika ada kesungguhan yang lebih hebat, pencapaian kita juga boleh jadi luar biasa.
"Ini cerita di sebalik kejayaan mereka dan jadikan mereka contoh dan 'role model' kepada kita," katanya ketika berucap pada majlis sambutan kontinjen Sukan Paralimpik Rio 2016 di Kompleks Bunga Raya di sini, hari ini.
Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah yang juga Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Perdana Menteri berkata, pemenang pingat emas temasya itu, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara 100 meter, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh) akan menerima insentif yang dijanjikan kerajaan berjumlah RM1 juta dengan pencen RM5,000.
Bagi pemenang pingat gangsa, Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh), Perdana Menteri mengumumkan tambahan insentif RM100,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM200,000, selain pencen RM2,000.- BH
Kisah atlet paralimpik rangsangan kepada rakyat - PM
Reviewed by uMieySurianie
on
September 22, 2016
Rating:

No comments: