SYDNEY: ANZ Bank dan Macquarie Group mengaku pedagang mata wang mereka cuba memanipulasi kadar penanda aras utama di pasaran tukaran asing Malaysia, yang melanggari undang-undang kartel serta menjurus kepada denda bernilai jutaan dolar.
Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) semalam, menyatakan ia sudah melancarkan tindakan undang-undang ke atas dua bank itu, yang berkomunikasi menerusi laman sembang dalam talian peribadi, dengan tujuan mencuba mempengaruhi harga kontrak hadapan ringgit Malaysia.
Badan pemantau itu mendakwa pada 2011, pedagang bank yang berpangkalan di Singapura itu berkomunikasi dengan bank lain bagi mengatur koordinasi dalam serahan dibuat kepada Persatuan Bank-bank Singapura, yang meletakkan penanda aras harian bagi ringgit.
Penyiasatan ACCC susulan selepas sebuah bank terbabit dalam dakwaan melakukan salah laku kartel mendapatkan imuniti daripada badan pemantau persaingan sebagai tukaran bagi kerjasama.
ANZ bersetuju kepada dakwaan itu dan menawar untuk membayar penalti AUS$9 juta, manakala Macquarie pula secara sukarela akan membayar denda AUS$6 juta.
Jumlah muktamad denda akan ditentukan mahkamah.
Dua bank terbabit memfailkan kenyataan yang menyatakan persetujuan mereka terhadap fakta yang dikemukakan di Mahkamah Persekutuan, yang memperincikan komunikasi dalam talian antara pedagang yang didakwa badan pemantau itu sebagai menunjukkan cubaan menetapkan kadar tertentu.
Pada Julai 14 2011, pedagang Macquarie, Istvan Wye Lung Loh berkomunikasi dalam ruang sembang dengan wakil Standard Chartered Bank (SCB) dan menawar untuk meninjau serta bertanya pedagang dari bank lain untuk membuat serahan kadar ringgit yang tinggi.
Loh kemudiannya memberitahu pedagang SCB bahawa ANZ, Credit Suisse, BNP, Bank of Tokyo-Mitsubishi dan ING bahawa kesemuanya membuat serahan ringgit Malaysia yang lebih tinggi, tindakan yang disifatkan ACCC bertujuan mempengaruhi penetapan kadar faedah ringgit Malaysia.
ACCC memperincikan lapan peristiwa yang mana Loh mengadakan komunikasi sama dengan tujuan mempengaruhi kadar tukaran mata wang.
Fail mahkamah mendedahkan 10 peristiwa atau situasi yang mana pedagang ANZ berpangkalan di Singapura Wei Ewen Chew, Wai Theng Hooi dan Joo Heng Tan menggunakan ruang sembang dalam talian bagi berkonspirasi dengan pedagang lain, termasuk Loh di Macquarie, untuk membuat serahan tinggi atau rendah bagi mempengaruhi kadar tukaran. – The Sydney Morning Herald/pisau.net
2 Bank Australia Berpengkalan Di Singapura Mengaku Memanipulasi Kadar Tukaran Ringgit.
Reviewed by Admin
on
November 29, 2016
Rating:
No comments: