KUCHING: Memiliki kekayaan dan kepelbagaian biologi serta dilengkapi kayu yang begitu berharga, taman negara di negeri ini pasti menjadi magnet kepada kehadiran penceroboh termasuk pemburu dan pembalak haram.
Sarawak Forestry Corporation (SFC) menerusi kenyataan akhbarnya semalam berkata, Rabu lalu dua cubaan pencerobohan ke Taman Negara Kubah dan Taman Negara Gunung Gading berjaya dilumpuhkan atas kewaspadaan kakitangan taman negara dan penguatkuasaan SFC Wilayah Kuching.
“Dalam kes pertama, pencerobohan di Taman Negara Kubah dipercayai dilakukan oleh sekumpulan pemburu haram berniat pengekstrakan gaharu dari taman itu.
“Menyedari kehadiran mereka diketahui, penceroboh mengambil keputusan lari dari bangsal sementara yang dibina di sempadan taman.
“Merujuk kepada barang ditinggalkan, dipercayai mereka adalah warga asing,” jelas kenyataan akhbar itu.
Sementara bagi kes pencerobohan kedua berlaku di Taman Negara Gunung Gading penceroboh merupakan pembalak haram.
Pencerobohan itu berjaya dikesan awal oleh kakitangan peronda taman yang mengejar mereka namun hanya berjaya merampas dua gergaji dan 241 batang kayu spesies Shorea yang dipotong.
“Kedua-dua pencerobohan telah dilapor kepada pihak polis. SFC akan terus berwaspada pada musim cuti akan datang dalam menjaga taman negara yang sememangnya di bawah jagaan kita,” kata kenyataan itu lagi. - UB
Cubaan Ceroboh Taman Negara Dilumpuh
Reviewed by Azmin
on
December 17, 2016
Rating:
No comments: