SIBU: Seorang wanita dijatuhkan hukuman 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam setelah mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh masuk sebuah rumah.
Tertuduh, Milin Sating, 36, dari Rantau Panjang Jaya turut dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara setelah gagal menunjukkan kad pengenalan diri ketika ditahan.
Mengikut pertuduhan pertama, Milin didakwa menceroboh sebuah rumah di Jalan Miden pada 13 Disember lepas, jam lebih kurang 9.15 malam.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal menunjukkan kad pengenalan diri.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki dijatuhi hukuman 10 bulan penjara setelah mengaku bersalah atas tuduhan mencuri telefon bimbit.
Ling Siong Chew, 36, didakwa mencuri dua unit telefon bimbit jenama Asus Zenfon C dan Leagoo, yang dianggarkan bernilai RM800.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu bertempat di sebuah restoran di Tingkat 12, Bangunan Pasar Sentral Sibu pada 14 November lepas, jam lebih kurang 9.10 pagi hingga 10 pagi.
Sehubungan itu tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda. - UB
Wanita Mengaku Ceroboh Rumah Dipenjara 10 Bulan
Reviewed by Azmin
on
December 17, 2016
Rating:
No comments: