SHAH ALAM: Ketika kanak- kanak seusianya menikmati cuti sekolah dengan berehat dan makan angin bersama keluarga, Siti Sirna Mohd Rashid, 9, perlu bangun seawal jam 3 pagi untuk membantu jiran yang berniaga kuih demi mendapatkan upah RM5.
Semua itu dilakukan kanak-kanak itu bagi meringankan beban ibunya, Rohana Md Isa, 46, selepas dia sekeluarga hilang tempat bergantung.
Ayah Siti Sirna, Mohd Rashid Sharuddin meninggal dunia pada 2012 dan pemergiannya memilukan kerana mayatnya ditemui terapung di lombong di Puchong, selepas tiga hari tidak pulang ke rumah.
Malah, sehingga kini punca kematian tidak diketahui kerana Rohana tidak mampu membayar RM800 untuk kos bedah siasat ketika itu.
Menurut Siti Sirna, dia tidak kisah bersusah payah demi ibunya.
“Sehari (sepanjang cuti sekolah) dapat RM5 upah bantu jiran kupas kentang dan cuci peralatan memasak. Duit ini bolehlah bantu ibu dan keluarga,” katanya.
Menurut anak bongsu daripada lima beradik ini, dia rindukan arwah bapanya.
“Paling seronok kalau abah ada dulu, dia bawa kami jalan-jalan.
“Sekarang lain, kalau abang cuti dia bawa saya jalan pergi Dataran Merdeka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Seri Keyan, Taman Pinggiran USJ, di sini, semalam.
Sementara itu, Rohana berkata, tragedi hitam yang menimpa hidupnya sekeluarga itu memberi kesan yang mendalam kepada kehidupan mereka selepas pemergian suami yang menjadi misteri.
“Empat tahun lalu, suami saya yang bekerja sebagai pemandu teksi tidak pulang ke rumah selama tiga hari.
“Kami sekeluarga cuba mencari, tetapi tidak jumpa. Kejadian itu berlaku sehari sebelum Ramadan, kami sekeluarga menonton televisyen untuk menunggu pengumuman puasa.
“Tetapi lain yang kami dapat kerana apabila menonton berita, nampak tubuh suami diangkat oleh anggota polis,” katanya.
Menurutnya, selepas mendengar berita itu, dia menerima panggilan daripada polis untuk datang ke hospital untuk pengecaman mayat.
“Kami ke Hospital Kuala Lumpur untuk pengecaman, sedih hati melihat itu mayat suami.
“Bagaimanapun, sehingga kini kami tidak tahu hasil bedah siasat kerana kami tak mampu bayar RM800 untuk kos itu,” katanya.
Rohaya berkata, dia reda dengan pemergian suaminya itu dan kini dia hanya bergantung harap dengan lima anaknya yang berusia 9 hingga 21 tahun.
Katanya, dia turut bergantung kepada wang zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Saya tidak dapat bekerja kerana menjaga anak dan risau dengan keselamatan mereka.
“Ketika baru pindah di pangsapuri yang saya sewa RM124 sebulan ini, ada individu pernah bawa anak mengemis ke Subang.
“Mujur ada jiran yang bawa dia balik,” katanya.
Menurutnya, dia akan terus menunaikan amanah arwah suami untuk menjaga lima anak mereka dengan baik.
Sesiapa yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Maybank 1020 5458 4535.-myMetro
Demi RM5, Kanak-Kanak 9 Tahun Bangun Dinihari
Reviewed by Unknown
on
December 06, 2016
Rating:
No comments: