Seo Services

Eksport Sarawak Dijangka Berkembang Kukuh 2017


BINTULU: Eksport Sarawak diyakini terus berkembang kukuh sepanjang tahun depan walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Malah, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjangka negeri ini mampu mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport utama negara, dengan produk petroleum, khususnya gas asli cecair (LNG) kekal sebagai penyumbang utama.

Pengarah MATRADE Wilayah Sarawak, Leany Mokhtar, berkata keyakinan itu juga bersandarkan kepada peningkatan permintaan terhadap produk berkenaan dari kalangan negara pengimport, terutama Jepun, Korea, China, Taiwan dan India.

"Selain LNG, sektor pembuatan membabitkan produk perkayuan, elektrikal dan elektronik dikenalpasti antara penyumbang terbesar prestasi memberangsangkan eksport negeri ini, begitu juga minyak sawit.

"MATRADE mengambil pendirian optimis, malah yakin dengan keupayaan eksport negeri ini untuk terus berkembang tahun depan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Outreach MATRADE & Agensi Di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) 2016, di sini semalam.

Keseluruhannya, 70 wakil syarikat pelbagai sektor, terutama industri gas dan minyak menyertai program berkenaan yang juga sebahagian daripada inisiatif MITI ke arah usaha meningkatkan penyertaan pengeksport dalam kalangan usahawan tempatan.

Leany ketika mengulas lanjut, berkata sepanjang Januari hingga Oktober 2016, Sarawak mencatatkan nilai eksport mencecah RM49.9 billion berbanding RM61 billion bagi tempoh sama tahun lalu.

"Berlaku sedikit penurunan dari segi nilai eksport antara tahun ini dan tahun lalu iaitu kira-kira 18..2 peratus. Ini disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, khususnya peningkatan kos bahan mentah dan ketidaktentuan kadar tukaran wang disebabkan situasi ekonomi semasa.

"Namun, kita bersikap positif terhadap perkara itu, malah sedang merangka pelbagai pendekatan strategik dalam mendepani cabaran berkenaan," katanya.

Katanya, antara pendekatan dilaksanakan termasuk memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak melalui penganjuran misi eksport ke luar negara, khusus bagi meneroka pasaran baharu.

Pada masa yang sama, MATRADE turut merangka inisiatif meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam pasaran eksport melalui penyediaan kemudahan berkaitan melalui rangkaian pejabatnya di seluruh dunia.-Sarawakiana
Eksport Sarawak Dijangka Berkembang Kukuh 2017 Eksport Sarawak Dijangka Berkembang Kukuh 2017 Reviewed by Unknown on December 22, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.