Seo Services

Persidangan Dewan Negara 2016 Ditangguhkan

Image result for Dewan negara
KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara yang berlangsung sejak 5 Dis lepas, melabuhkan tirai hari ini dengan meluluskan dua lagi rang undang-undang berkaitan masa depan penerbangan awam negara.

Dua rang undang-undang (RUU) itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan Penerbangan Awam (Pindaan) 2016 diluluskan selepas mendapat persetujuan anggota Dewan Negara kira-kira 6 petang.

Ia sebelum itu dibentangkan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk S A Vigneswaran, yang kemudiannya diluluskan.

Vigneswaran sebelum menangguhkan persidangan, turut merakamkan penghargaan kepada anggota dewan yang menunjukkan sikap kepimpinan dan teladan yang baik sepanjang tempoh persidangan itu berlangsung.

"Dewan ini merupakan badan perundangan tertinggi. Tiada undang-undang boleh diluluskan tanpa persetujuan Dewan Negara. Saya amat berpuas hati dengan persidangan kali ini," katanya yang menangguhkan persidangan itu kepada suatu tarikh yang tidak ditetapkan.

Persidangan akan datang akan berlangsung di bangunan Parlimen asal.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan berkata Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas sepanjang tahun ini, meluluskan 29 Rang Undang-Undang.

Katanya Dewan Negara bersidang 27 hari bagi tahun ini, manakala Dewan Rakyat selama 53 hari dan sepanjang tempoh persidangan, anggota-anggota dewan mengambil bahagian begitu aktif dalam semua sesi perbahasan.

"Sebanyak 3,897 pertanyaan lisan dan 1,622 pertanyaan bukan lisan dikemukakan di Dewan Rakyat bagi persidangan pada tahun ini. Bagi tempoh yang sama, Dewan Negara menerima 2,404 pertanyaan lisan dan 300 pertanyaan bukan lisan," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota Parlimen yang mengambil bahagian dalam sesi Parlimen kali ini, termasuk mereka yang bertugas bagi melicinkan perjalanan persidangan berkenaan.

"Diharapkan anggota-anggota Parlimen terus menjaga prestij Dewan yang mulia ini dengan tidak menyalahgunakan kekebalan serta menampilkan perbahasan yang berkualiti khususnya melibatkan rakyat keseluruhannya," kata beliau.

-- BERNAMA
Persidangan Dewan Negara 2016 Ditangguhkan Persidangan Dewan Negara 2016 Ditangguhkan Reviewed by Azmin on December 22, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.