Seo Services

Terpaksa Bermalam Di Perhentian Bas


KUCHING: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, sebuah keluarga yang terpaksa bermalam di perhentian bas akibat kehabisan minyak kereta tiba-tiba dilanggar sebuah kereta lain di Jalan Batu Kawa di sini, semalam.

Menurut sumber, keluarga terbabit terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak mereka berusia empat dan dua tahun dipercayai menuju ke sebuah pasar raya 24 jam apabila kereta mereka kehabisan minyak.

“Difahamkan, keluarga terbabit terpaksa bermalam di dalam kereta yang diparkirkan berdekatan sebuah perhentian bas sementara menunggu hari siang untuk membeli minyak kereta.

“Bagaimanapun, sekitar jam 5 pagi, sebuah kereta yang dipandu seorang wanita dikatakan hilang kawalan lalu merempuh kereta keluarga terbabit,” kata sumber.

Impak rempuhan menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan terpaksa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan parah.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu segera membantu keluarga terbabit. Anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia empat tahun juga dikejarkan ke HUS akibat kecederaan parah,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis semalam, kanak-kanak terbabit dilaporkan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUS.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun turut dimasukkan ke ICU HUS selepas dipercayai menjadi mangsa langgar lari di Jalan Jambatan Tun Salahuddin di sini, kelmarin.

Menurut sumber, mangsa telah dilanggar sebuah kereta sekitar jam 5 petang Selasa lepas dan ditinggalkan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat kejadian.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke HUS oleh pengguna jalan raya lain dan mangsa dimasukkan ke ICU untuk rawatan lanjut,” kata sumber.

Manakala Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak ASP Mathew Manggie semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu belum ada pemandu yang tampil menyerah diri.

“Setakat ini (petang), masih belum ada pemandu yang tampil menyerah diri berhubung kes tersebut,” katanya.

Turut ditemui di tempat kejadian ialah seunit bampar kereta jenis Proton Saga berwarna biru.-UB
Terpaksa Bermalam Di Perhentian Bas Terpaksa Bermalam Di Perhentian Bas Reviewed by Unknown on December 22, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.