Seo Services

Kes Penyelewengan Di Sabah - Rampasan Terbesar SPRM Selepas 49 Tahun



KUALA LUMPUR: Rampasan RM114.5 juta berkaitan dengan penyelewengan projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion di Sabah pada Oktober merupakan kes terbesar dalam sejarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dulu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah, yang ditubuhkan 49 tahun lalu.

Kejayaan itu selaras dengan fokus utama Ketua Pesuruhjaya Datuk Dzulkifli Ahmad selepas mengambil alih teraju SPRM pada 1 Ogos lepas untuk membersihkan perkhidmatan awam.

Seorang pengarah dan timbalan pengarah jabatan kerajaan ditahan. Sementara siasatan dijalankan, masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 tanpa deposit, dengan dua orang penjamin.

Susulan itu, SPRM turut merampas geran tanah, barang kemas, jam dan beg tangan berjenama serta kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit daripada lebih 20 orang suspek yang ditahan berhubung kes berkenaan.

Antara kes yang turut mendapat perhatian umum pada tahun ini ialah penahanan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan pemilik banglo yang dibelinya, Phang Li Koon, pada 29 Jun.

SPRM menyiasat Lim berhubung pembelian banglo itu dengan harga RM2.8 juta daripada Phang yang dikatakan di bawah harga pasaran RM4.27 juta.

Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 30 Jun atas pertuduhan rasuah berkaitan dengan pembelian banglo berkenaan.

Pada 15 Ogos lepas, tiga penjawat awam, dua daripadanya 'Datuk' dan seorang lagi 'Datuk Seri', ditahan SPRM atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Mereka berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Kerja Raya dan Tenaga Nasional Berhad, serta ditahan di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 50-an dan akaun milik ketiga-tiga individu itu yang melebihi RM13 juta, dibekukan meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta dan RM6 juta setiap seorang.

Turut disita beberapa kondominium mewah termasuk unit penthouse, banglo dan kenderaan mewah, antaranya Maserati, BMW dan Audi.- Bernama
Kes Penyelewengan Di Sabah - Rampasan Terbesar SPRM Selepas 49 Tahun Kes Penyelewengan Di Sabah - Rampasan Terbesar SPRM Selepas 49 Tahun Reviewed by uMieySurianie on December 20, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.