KUALA LUMPUR: Malaysia dikurniakan kepelbagaian sumber pertanian bagi mendokong usaha membentuk 'Empayar Makanan' yang mampu diwariskan dari generasi ke generasi.
Malah, kepelbagaian gaya masakan, resipi dan rempah ratus digunakan mengikut cita rasa tempatan turut memberi identiti tersendiri kepada sesebuah negeri, sekali gus berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan.
Justeru, Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2016) bertemakan 'Makanan Kita, Masa Depan Kita' yang sedang berlangsung ketika ini adalah pentas terbaik untuk setiap negeri mempamerkan keunikan hidangan masing-masing kepada khalayak umum.
Tampil 168 aneka sajian
Keseluruhannya, 168 sajian bersama 62 usahawan tani, termasuk 19 daripadanya usahawan belia terbabit dalam memperkenalkan juadah popular dari seluruh negara, sekali gus membolehkan masyarakat merasai sendiri keunikan hidangan dari setiap negeri.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata FAMA menjelajah ke seluruh negara untuk mencari juadah terbaik dari setiap negeri untuk dibawa ke MAHA2016.
"Setiap usahawan perlu menyediakan makanan mereka dalam masa yang ditetapkan untuk terus dinilai oleh juri. Ini bermakna setiap makanan yang ada di MAHA 2016 pastinya tidak mengecewakan pengunjung, terutama merindui 'masakan kampung'," katanya dalam temu bual bersama BH.
Katanya, antara sajian makanan popular yang dipilih dibawakan ke 'Empayar Makanan MAHA 2016' ialah Udang Sanggol Perlis, Asam Pedas Melaka, Pais Ikan Patin Pahang, Maggi Ketam Terengganu, Pasembor Pulau Pinang, Moi Sup Kedah, Kacang Pool Johor dan Masak Lemak Cili Api Daging Salai Negeri Sembilan.
Tidak ketinggalan Nasi Ulam Seratus Lauk Kelantan, Rendang Tuk Perak, Nasi Berempah Putrajaya, Nasi Tomato Selangor, Mi Kolok Sarawak dan Pisang Goreng Cheese Sabah.
Medium perkongsian teknologi
Bagaimanapun, Ahmad Shabery menjelaskan program berkenaan hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan ekspo pertanian dan produk asas tani terbesar negara itu yang berteraskan konsep 'kedaulatan makanan ke arah penyediaan bekalan sumber makanan mencukupi untuk rakyat.
Justeru, penyediaan ribuan tapak pameran kali ini sebagai medium perkongsian teknologi pertanian, hasil tani dan promosi industri agropertanian dalam mencapai matlamat berkenaan.
Keseluruhannya, 40,000 meter persegi keluasan ruang pameran disediakan dalam dewan sepanjang penganjuran MAHA 2016 yang dibahagikan mengikut lima kluster iaitu AgroTourism, AgroIT, AgroTrade, AgroLifestyle dan AgroYouth.
"Di bahagian luar dewan, pengunjung boleh menikmati sendiri pengalaman pertanian secara hands-on di 7 Laman disediakan iaitu Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Perikanan, Laman Nanas, Laman Herba dan Sayur, Laman Florikultur dan Laman Jentera.
"Jika mengambil kira keseluruhan keluasan ruang pameran, ia mencecah 240,000 meter persegi, termasuk luar dewan, sekali gus menjadikan MAHA 2016 sebagai ekspo pertanian, agropertanian dan produk makanan terbesar pernah dianjurkan dalam sejarah negara," katanya.
14 pavilion negeri
Katanya, MAHA 2016 turut menyaksikan penyertaan 14 negeri yang membuka pavilion masing-masing, dengan menampilkan reka bentuk unik sebagai perlambangan identiti setiap negeri.
"Dalam MAHA 2016, kita turut memberi tumpuan kepada usaha membangunkan industri madu kelulut yang begitu banyak khasiatnya dalam konteks kesihatan.
Malah, ia antara produk kesihatan tempatan yang setanding madu antarabangsa untuk diangkat sebagai superfood pertama kita di peringkat antarabangsa.
"Justeru, ruang khas turut disediakan bagi mengetengahkan madu kelulut, termasuk pameran mengenai kaedah penternakan lebah kelulut dan cara pemprosesan madu kelulut," katanya. - BH
Malaysia mampu bentuk 'Empayar Makanan'
Reviewed by Azmin
on
December 05, 2016
Rating:
No comments: