SARATOK: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM15 juta untuk membangunkan semula tapak warisan sejarah di negeri ini seperti kubu lama dan bangunan bersejarah.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata usaha membaik pulih dan membangunkan semula tapak-tapak warisan sejarah itu melambangkan kekayaan budaya masyarakat negeri ini.
“Sektor pelancongan di Sarawak berkembang disebabkan kepelbagaian faktor, keistimewaan dan keunikan terdapat di negeri ini khususnya berkaitan sungai dan alam semula jadi.
“Justeru, penganjuran aktiviti berkaitan sungai dan alam sekitar mampu meraih pelbagai sokongan dan mendapat sambutan amat meriah daripada segenap lapisan masyarakat.
“Salah satunya adalah acara regata. Bagi masyarakat luar acara regata adalah satu keunikan yang tidak terdapat di mana-mana negara dan sering menjadi tarikan utama pelancong menyaksikan aktiviti ini, malah turut menyertai,” katanya pada Majlis Penangguhan Regata Saratok 2016 di Tebingan Krian, semalam.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata, regata merupakan acara tradisi masyarakat negeri ini yang sinonim dengan kekayaan sungainya.
Katanya pelbagai aktiviti diadakan berkonsepkan sungai berjaya menarik perhatian masyarakat menyaksikan atau terlibat dengan peluang perniagaan.
“Kita minta masyarakat peka dan bijak memanfaatkan segala peluang yang ada untuk menjana pendapatan dan memasarkan produk masing-masing,” jelasnya.
Beliau berkata pesta itu adalah landasan terbaik mengeratkan hubungan semua pihak khususnya masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Sukan seperti ini mampu menjadi medium mengeratkan semangat perpaduan kaum di samping mengukuhkan semangat kekitaan.
“Bagi masyarakat di sini ingin menjadikan program ini sebagai salah satu acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri, kita tidak mempunyai masalah merealisasikan impian itu.
“Apa yang penting sokongan dan kerjasama semua pihak amat diperlukan sebagai tanda kita bersatu hati menjadikan Regata Saratok sebagai ikon utama mengangkat nama Sungai Krian sebagai destinasi utama pilihan penggemar sukan air,” katanya.
Sekitar 3,000 orang masyarakat dari dalam dan luar Saratok membanjiri Tebingan Krian bagi menyaksikan pertandingan lumba perahu yang diadakan dua hari bermula Sabtu lalu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz, Residen Bahagian Betong Datu Romi Sigan Daniel, Pegawai Daerah Saratok Mohd Ikhmal Abdullah, Pegawai Daerah Kabong Kamaluddin Alkap, ketua-ketua jabatan dan masyarakat. - UB
RM15 Juta Bangunkan Semula Tapak Warisan
Reviewed by Azmin
on
December 05, 2016
Rating:

No comments: